Tuesday , 25 June 2019

Home » Nasional » Kayveas tarik diri PRK Cameron Highlands

Kayveas tarik diri PRK Cameron Highlands

January 12, 2019 3:04 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kayveas tarik diri PRK Cameron Highlands

TANAH RATA,. Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Mengumumkan keputusan itu pada satu sidang media di Pusat Penamaan Calon di SMK Tanah Rata di sini hari ini, Kayveas berkata beliau sebaliknya akan memberi sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran.

“Saya ingin jelaskan, saya penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kekuatan dan kebijaksanaan Perdana Menteri yang akan membawa kita melalui kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Oleh itu saya umumkan saya tidak akan meneruskan untuk bertanding dalam PRK ini.

“Saya akan menyokong calon PH secara terbuka dan agresif. Mereka boleh harapkan sokongan kami (MyPPP),” katanya.

Sebelum ini, Kayveas pernah berkata beliau menanti selama berbelas tahun untuk berkhidmat di Cameron Highlands yang terletak di negeri kelahirannya.

Katanya, Dr Mahathir pernah berjanji memberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepadanya pada tahun 2000.

Oleh itu, tambahnya, beliau perlu kembali ke kawasan itu setelah perkara itu katanya, dimanipulasi MIC.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kerusi Parlimen Cameron Highlands dimenangi Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri G Palanivel.

Semasa PRU14, Kavyeas telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi itu tetapi Barisan Nasional memutuskan meletakkan Datuk C. Sivarraajh, juga dari MIC.

Sivarraajh kemudiannya memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah.

scroll to top