Monday , 23 July 2018

Home » Nasional » KDN arah batal PLKS diluluskan Menteri terdahulu

KDN arah batal PLKS diluluskan Menteri terdahulu

June 22, 2018 7:56 am Category: Nasional A+ / A-
KDN arah batal PLKS diluluskan Menteri terdahulu

KUALA LUMPUR,. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik serta merta kelulusan melanjutkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk tahun kedua dan tahun seterusnya yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Berdasarkan pekeliling daripada Pengarah Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Khar Yahya, kepada semua Pengarah Imigresen negeri hari ini, keputusan itu dibuat ketika taklimat mengenai imigresen dan pekerja asing yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu.

“Pada mesyuarat itu, keputusan dibuat supaya kelulusan lanjutan tahun kedua dan ke atas oleh Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri terdahulu dibatalkan.

“Sehubungan itu, anda (Jabatan Imigresen) perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan termasuk majikan untuk menguruskan penghantaran pulang pekerja asing terbabit kerana tiada lanjutan PLKS selepas tarikh surat ini (7 Jun),” katanya.

Awal bulan ini, difahamkan KDN akan menyelaras satu jawatankuasa khas dipengerusikan Muhyiddin untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tempoh masa yang diberikan kepada majikan untuk melaksanakan arahan itu dan usaha untuk mendapatkan pengesahan perkara itu daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali belum berhasil.

Media sebelum ini melaporkan, bagi tempoh sehingga 30 Jun tahun lalu, rekod Jabatan Imigresen menunjukkan terdapat lebih 1.7 juta pekerja asing yang memegang PLKS yang masih sah dan aktif berada di negara ini.

Daripada jumlah itu, pekerja asing dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 728,870 orang diikuti Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127, 705), India (114,455), Pakistan (59,281), Filipina (56,153), Vietnam (29,039), China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39).

Menurut KDN, kebanyakan pekerja asing bekerja dalam enam sektor utama iaitu pembinaan seramai 350,740 orang, pembuatan (636,593) perkhidmatan (242,536), perladangan (261,530), pertanian (161,003), dan pembantu rumah (129,196).

scroll to top