Friday , 23 February 2018

Home » Bisnes » KDNK Malaysia diunjur 5 peratus tahun ini

KDNK Malaysia diunjur 5 peratus tahun ini

February 9, 2018 2:11 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
KDNK Malaysia diunjur 5 peratus tahun ini

Ketua Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling

KUALA LUMPUR,. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan pada lima peratus tahun ini, dipacu oleh pengukuhan penggunaan dan pelaburan swasta.

Ketua Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling, berkata penggunaan swasta dijangka kekal kukuh tahun ini berikutan langkah sokongan pendapatan kerajaan yang berterusan, pengurangan kadar cukai pendapatan serta peningkatan sentimen.

“Pelaburan swasta juga akan meningkat disebabkan peningkatan permintaan dan sentimen luar,” katanya mengumumkan Unjuran 2018, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan KDNK tahun ini dijangka lebih rendah berbanding unjuran 2017 iaitu 5.8 peratus berikutan kesan asas yang tinggi tahun lalu serta pertumbuhan perlahan dalam ekonomi rakan dagang.

Ling berkata, kadar inflasi di Malaysia juga dijangka sederhana pada 2018 berbanding rakan Asia lain dan Malaysia perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang tanda peningkatan berikutan terdapat pertambahan hutang isi rumah.

Mengenai defisit fiskal, beliau berkata, ia diunjurkan menurun kepada 2.9 peratus tahun ini berbanding jangkaan 3.0 peratus pada 2017.

“Ia dipacu dengan harga minyak yang stabil dan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

“Harga minyak dunia menunjukkan pemulihan ketara tahun ini dan komoditi itu diunjurkan meningkat pada AS$65 hingga AS$70 setong pada akhir 2018,” katanya.

Mengulas mengenai ringgit, beliau berkata, unit tempatan itu diunjur lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berada pada paras RM3.7636 pada Disember 2018.

scroll to top