Monday , 23 October 2017

Home » Bisnes » KDNK Sebenar Malaysia Tumbuh 5.3 Peratus -RHB Research

KDNK Sebenar Malaysia Tumbuh 5.3 Peratus -RHB Research

October 12, 2017 5:24 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
KDNK Sebenar Malaysia Tumbuh 5.3 Peratus -RHB Research

RHB Research Institute

KUALA LUMPUR, 12 Okt RHB Research Institute menjangka keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia tumbuh 5.3 peratus pada 2017, sebelum meningkat kepada 5.4 peratus pada 2018 daripada 4.2 peratus pada 2016.

Firma penyelidikan itu berkata unjuran itu disokong oleh peningkatan pesat aktiviti perindustrian apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada 133.2 pada Ogos daripada 124.7 yang dicatatkan dalam bulan yang sama tahun lepas, berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

“Terdapat peningkatan dalam aktiviti perlombongan, manakala keluaran pembuatan kekal kukuh semasa bulan itu. Memandangkan aktiviti luaran dan perindustrian yang rancak, KDNK sebenar Malaysia mungkin akan mengejutkan kita dengan meningkat pada suku ketiga 2017,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

RHB Research berkata pertumbuhan kukuh pada 2018 dijangka disokong oleh peningkatan eksport, permintaan domestik dan kenaikan sederhana perbelanjaan awam dan pelaburan.

— BERNAMA

scroll to top