Thursday , 18 January 2018

Home » Bencana » Keadaan di Sarikei tenang Walaupun Dilanda gempa

Keadaan di Sarikei tenang Walaupun Dilanda gempa

January 13, 2018 2:50 pm Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Keadaan di Sarikei tenang Walaupun Dilanda gempa

Aktiviti peniaga dipasar berjalan seperti biasa

KUCHING,. Keadaan di Sarikei, Sarawak dilaporkan tenang walaupun terdapat laporan awal bahagian itu mengalami kesan gegaran gempa bumi sederhana berukuran 5.1 magnitud, di Kupang, Indonesia pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superitendan Zamry Ali, berkata setakat ini belum ada laporan membabitkan kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda.

“Kita ambil maklum laporan itu merujuk laporan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), namun keadaan di sini tenang dan orang ramai meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

“Sama ada kita sedar atau sebaliknya sehingga ia tidak mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Tinjauan di Pasar Sarikei, antara tempat tumpuan umum di bandar ini mendapati aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.

Peniaga, Jimbai Limbat, 45, berkata sejak berniaga awal pagi tadi, tiada sebarang kejadian pelik termasuk kesan gegaran gempa bumi dirasakannya seperti dilaporkan.

“Saya mendapat tahu berita gempa bumi itu melalui aplikasi Whatsapps. Sejak awal pagi lagi kami, di sini tidak merasa sebarang keanehan atai gegaran. Urus niaga berjalan seperti biasa,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Residen Sarikei berhubung kejadian berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Kita memantau rapi perkembangan keadaan di Sarikei,” katanya ketika dihubungi.

Met Malaysia, pagi tadi melaporkan mengenai kejadian gempa bumi sederhana dengan magnitud 5.1 skala Richter di tenggara Sarikei, Sarawak, yang berpusat di barat daya Kupang, Indonesia.

Bagaimanapun, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin ketika dihubungi mengesahkan maklumat awal itu sebagai tidak tepat.

“Ia berlaku 1,600 kilometer dari Sarikei. Mungkin Met Malaysia merujuk lokasi bandar berhampiran kawasan kejadian di Malaysia,” katanya.

scroll to top