Thursday , 15 November 2018

Home » Artikel Pilihan » Kedudukan Islam, Raja Melayu kekal terpelihara

Kedudukan Islam, Raja Melayu kekal terpelihara

June 30, 2018 10:20 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Kedudukan Islam, Raja Melayu kekal terpelihara

Perkarangan Istana Negara

ADA persepsi terbentuk dalam minda rakyat kita mengenai beberapa isu dianggap sensitif, antaranya kedudukan Islam, pembubaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pelantikan Peguam Negara, peranan institusi Raja serta berkembangnya pemikiran liberal.

Kita sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Justeru, bertitik tolak dari sumber undang-undang tertinggi negara, perbahasan persepsi yang muncul melalui isu sensitif, akan dibahas dalam konteks Perlembagaan.

Jika ditelusuri, persepsi terhadap isu membabitkan Islam sering muncul menjelang pilihan raya dan selepas pilihan raya. Islam perkara sensitif untuk diperdebatkan seperti sensitifnya perdebatan kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perbincangan mengenai agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sering menjadi kontroversi khususnya pada dekad 90-an dan milenium, di mana isu yang dianggap menggugat kedudukan Islam di Malaysia mula dibangkitkan melalui saluran perundangan.

Ini dapat ditunjukkan melalui beberapa kes yang menjadi perbahasan masyarakat seperti Azlina Jailani, Kamariah Ali, Muhammad [email protected] serta desakan meminda atau memansuhkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama atau ‘Interfaith Commission of Malaysia’ (IFC) serta selain penubuhan kumpulan pendesak hak kebebasan beragama yang dikenali sebagai ‘Article 11′ dan lain-lain.

Ternyata daripada perbincangan di atas, memperlihatkan bahawa sentiasa ada percubaan dari semasa ke semasa untuk mencabar peruntukan Islam. Adakah kegusaran rentetan peristiwa yang dibincangkan di atas akan menyebabkan Islam tergadai?

Persoalan ini kita akan lihat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu tahu dan faham bahawa terdapat perbezaan di antara pindaan Perlembagaan dan pindaan akta.

Pindaan akta hanya perlu majoriti mudah, iaitu dalam Dewan Rakyat yang terdapat 222 kerusi, maka majoriti mudah ialah 112. Berdasarkan itu, kerajaan mudah untuk meminda akta seperti Akta Hasutan, Akta Berita Palsu, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan lain-lain.

Berbeza dengan pindaan Perlembagaan, prosesnya lebih rumit seperti melalui cara-cara di bawah iaitu:

Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara.

Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa Bumiputera.

Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.

Ternyata berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan, proses pindaan adalah rumit dan memerlukan dua pertiga undi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu melebihi 148 kerusi.

Tiada majoriti dua pertiga

Selepas pilihan raya 2008 hingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Maka, adalah jelas pindaan Perlembagaan tidak boleh dilakukan.

Pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan ditambah dengan syarat lain, iaitu di samping perlu dua pertiga undi majoriti, ia perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Maka jelas, tidak kira parti mana yang memerintah, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) hatta DAP sekali pun, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan.

Kita perlu tahu bahawa peruntukan Islam dalam Perlembagaan bukan hanya terbatas dalam Perkara 3, iaitu Islam adalah agama persekutuan, tetapi juga meliputi Perkara 8, Perkara 11, Perkara 12, Perkara 121, Perkara 150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam.

Mengenai Perkara 3(1), pemilihan perkataan Islam ialah agama bagi persekutuan, berbeza dengan istilah dalam Perkara 152, iaitu bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Islam ialah agama bagi persekutuan, menyatakan bahawa negara ini mempunyai agama dan menjadi tunjang kepada falsafah atau ideologi negara. Oleh kerana peruntukan ini merujuk kepada Islam, maka keseluruhan peruntukan terbabit perlu dilihat dalam konteks Islam.

Ini selaras dengan sejarah dan amalan yang ada di negara ini, iaitu Islam mempunyai kedudukan dan pengaruh besar sejak sebelum kemerdekaan lagi.

Perkara 3(1) juga menyatakan persoalan agama lain yang merujuk kepada konteks sejarah sebagai jaminan kebebasan beragama bagi menghilangkan kebimbangan dalam kalangan bukan Islam.

Fasal 2, 3 dan 5 lebih kepada penjelasan mengenai kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Majlis Raja-Raja dalam pelaksanaan Islam. Fasal 2 contohnya, bagi mengkanunkan jaminan Perikatan terhadap Raja bahawa kedudukan mereka tidak terjejas sebagai ketua agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong hanya bertindak menjadi wakil kepada Raja dalam upacara dan amalan Islam pada peringkat persekutuan. Peruntukan ini diguna untuk menentukan bermula puasa, Aidilfitri dan Aidiladha. Hal sama juga dengan pengeluaran tauliah kepada guru agama dalam tentera.

Begitu juga dalam era 1971-1976, arak sudah dihapuskan dalam majlis dan jamuan rasmi negara tidak seperti era 1957-1971. Ia diikuti pada era 1976-1981, iaitu seorang menteri penuh dilantik dan dipertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Situasi ini lebih rancak pada 1981-1987 yang menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Takaful, Kursus Tamadun Islam serta Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, diperkenalkan.

Walaupun Perkara 8(2) melarang perbezaan disebabkan agama, kaum dan sebagainya, terdapat pengecualian seperti dalam perlembagaan negeri yang mewajibkan hanya individu berketurunan Melayu dan Islam boleh dilantik menjadi Menteri Besar di negeri mempunyai Raja.

Hal sama juga bagi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, begitu juga pelantikan pegawai Mahkamah Syariah, JAKIM, jabatan agama negeri serta Majlis Agama Islam negeri.

Namun, pada peringkat persekutuan, jawatan Perdana Menteri, menteri atau pegawai tinggi persekutuan tidak memperuntukkan syarat mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam dalam Perlembagaan.

Perlembagaan juga memberi kuasa dan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan yang sah bagi kaum lain.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia

scroll to top