Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Kedudukan Pengerusi PAC dibincang minggu ini

Kedudukan Pengerusi PAC dibincang minggu ini

March 18, 2019 2:42 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kedudukan Pengerusi PAC dibincang minggu ini

Wong Chen,

KUALA LUMPUR,. Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bermesyuarat minggu ini untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, sebagai Pengerusi jawatankuasa itu.

Ahli Parlimen Subang yang juga Ahli PAC daripada PKR, Wong Chen, berkata mesyuarat dijangka dihadiri Kiandee dan juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad, yang dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi PAC baharu.

Wong Chen berkata, mesyuarat bertujuan mendapat maklum balas semua ahli PAC sama ada bersetuju menukar pengerusi PAC, dan hasil pertemuan akan dibawa kepada pimpinan parti masing-masing sebelum dikemukakan ke Kabinet.

“Kabinet dan pimpinan politik akan membuat keputusan atau memberi arahan selanjutnya pada kami.

“Bagaimanapun, jika diberi kebebasan politik untuk membuat keputusan, Ahli PAC mahu jawatan pengerusi PAC diberi kepada pembangkang kerana jawatankuasa ini perlu memantau pembaziran dan rasuah kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Wong Chen mengulas desakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, antaranya Hannah Yeoh (PH DAP-Segambut) dan Nurul Izzah Anwar (PH PKR-Permatang Pauh) yang mahu jawatan pengerusi PAC diberi kepada wakil pembangkang.

Isu kedudukan Pengerusi PAC timbul selepas Kiandee yang dilantik ke jawatan itu atas kapasiti wakil rakyat BN, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menjadi penyokong kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu kelmarin, berkata bukan masalah bagi Kiandee kekal sebagai Pengerusi PAC.

scroll to top