Wednesday , 17 July 2019

Home » Nasional » Kehidupan Orang Asli di Kuala Koh kembali normal – Dr Wan Azizah

Kehidupan Orang Asli di Kuala Koh kembali normal – Dr Wan Azizah

June 27, 2019 7:09 am Category: Nasional A+ / A-
Kehidupan Orang Asli di Kuala Koh kembali normal – Dr Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA,. Kehidupan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan kembali normal dan mereka mula menjalani rutin harian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, hasil pemeriksaan sampel air yang dikendalikan sebanyak tiga kali ke atas sumber air di kawasan penempatan penduduk Orang Asli berkenaan secara keseluruhan didapati normal seperti mana hasil ujian sampel kali pertama.

“Saya diberi laporan menerusi aplikasi WhatsApp bahawa orang Asli sudah pulih dan bermain gitar dan menyanyi semua.

“Alhamdulillah, ini menunjukkan mereka balik kepada aktiviti normal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Sebelum ini, 15 Orang Asli di Kuala Koh dilaporkan meninggal dunia sejak awal Mei lepas. Kementerian Kesihatan pada 17 Jun lepas dilaporkan berkata wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli itu termasuk membabitkan kematian disebabkan demam campak.

Mengenai insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, Dr Wan Azizah berkata kerajaan belum dapat mengenal pasti punca insiden pencemaran yang menyebabkan ramai yang sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas.

Beliau berkata pihaknya telah menempatkan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di kawasan itu bagi memantau sampel berkaitan untuk menentukan punca sebenar insiden berkenaan.

Khamis lepas, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Sementara itu, wakil masyarakat Orang Asli Kuala Koh, Mohd Fadzli Mamok berkata satu perjumpaan bakal diadakan antara beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli dengan Dr Wan Azizah, Jumaat ini di Putrajaya.

Katanya perjumpaan kali kedua itu susulan pertemuan minggu lepas di mana empat wakil masyarakat Orang Asli berjumpa sendiri dengan Dr Wan Azizah.

“Perjumpaan kali pertama dahulu adalah bagi menyatakan kekeliruan selain mencari jawapan sebenar mengenai kes kematian Orang Asli suku Batek dalam jumlah yang ramai (15 orang) selain ada kes kematian sehingga empat orang dalam masa sehari.

“Kita juga berasa hairan dengan tindakan pihak berkuasa sebelum ini yang mengambil sampel air di Sungai Lebir berbanding yang sepatutnya iaitu sampel air di Sungai Balai,” katanya ketika ditemui di Felda Aring 5 di Gua Musang, Kelantan hari ini.

Jelasnya, kebanyakan Orang Asli suku Batek mendapatkan sumber air daripada Sungai Balai dan bukannya Sungai Lebir.

“Kami menganggap kesudian Dr Wan Azizah untuk berjumpa dengan pihak kami sebagai satu petanda baik dalam mencari penyelesaian isu yang timbul kebelakangan ini di Kuala Koh. Ia juga menunjukkan pemimpin atasan sentiasa mendengar keluhan masyarakat Orang Asli,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top