Saturday , 18 November 2017

Home » Nasional » Kejadian Tanah Runtuh NGO dakwa kerajaan negeri cuai

Kejadian Tanah Runtuh NGO dakwa kerajaan negeri cuai

October 23, 2017 3:10 pm Category: Nasional A+ / A-
Kejadian Tanah Runtuh NGO dakwa kerajaan negeri cuai

GEORGETOWN: Kelalaian Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa menjadi antara punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa 11 pekerja pembinaan di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, pembinaan 980 unit perumahan mampu milik di kawasan Lengkok Lembah Permai itu didapati bercanggah dengan Rancangan Struktur Pulau Pinang.

Selain itu, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit mendakwa projek juga dipercayai tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penasihat Undang-Undang SAM dan CAP, R Meenakshi, berkata pembinaan terbabit didakwa jelas bercanggah dengan pewartaan kawasan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang sebagai kawasan sekunder yang hanya membenarkan pembinaan 15 unit bagi tanah berkeluasan 0.4 hektar.

Katanya, mereka kini meneliti aspek teknikal dan perundangan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

“Kita juga bersedia memberi nasihat perundangan atau mencadangkan mana-mana peguam mewakili keluarga mangsa,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Dr Lim Mah Hui di sini, hari ini.

Seramai 11 pekerja pembinaan yang sedang melakukan kerja mengikat konkrit terperangkap dalam kejadian runtuhan tanah, dalam kejadian di tapak pembinaan rumah mampu milik, pada jam 8.50 pagi, kelmarin.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelmarin dipetik berkata, pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah tidak mendapat kelulusan daripada JAS, selain lokasinya terlalu hampir dengan kuari, kurang 500 meter dan salah dari sudut peraturan.

Meenakshi yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA), turut menggesa siasatan kejadian tanah runtuh yang akan dijalankan suruhanjaya siasatan dibuat secara menyeluruh dan membabitkan pelbagai pihak termasuk NGO berkaitan.

“Kejadian tanah runtuh ini bukan hanya kemalangan di tapak pembinaan kerana pada awalnya ia sudah menyalahi pelbagai aspek, termasuk perundangan. Justeru, skop siasatan perlu diperluas bagi memastikan hasilnya adalah menyeluruh,” katanya.

BH

scroll to top