Monday , 21 May 2018

Home » Nasional » Kekalahan pada PRU-14 jadi iktibar BN

Kekalahan pada PRU-14 jadi iktibar BN

May 13, 2018 2:38 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kekalahan pada PRU-14 jadi iktibar BN

Datuk Seri Azlan Man

KANGAR: Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dijadikan iktibar untuk parti itu menilai segala kelemahannya.

Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata parti harus bermuhasabah dan melihat kembali kesilapan yang mungkin sudah mereka lakukan.

“Ini adalah masa terbaik untuk kita menilai semula kelemahan parti, memperbaiki dan merancang strategi untuk meraih kembali kepercayaan rakyat.

“Kadang-kadang, ada beberapa perkara yang rakyat tidak suka tetapi kita melakukannya tanpa sedar.

“Oleh itu, kita perlu bermuhasabah,” katanya dalam temu bual bersama wartawan di kediaman rasminya di sini, malam tadi.

Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Besar, turut mengaku kelemahan kerajaan BN dalam melaksanakan sesuatu dasar pembangunan pada peringkat negeri turut menjadi antara punca kekalahan parti itu.

Selain itu, beliau tidak menolak ada pihak tertentu dalam BN yang mementingkan diri, terutama dalam urusan membabitkan kontrak pembinaan.

“Mereka berebut projek dan tender dibuka kerajaan negeri hanya untuk kepentingan diri,” katanya.

Tanpa merujuk kepada sesiapa, beliau turut mendakwa ada sesetengah ahli menyertai parti hanya untuk ‘cari makan’.

“Malah, ada yang bertanding semata-mata untuk ‘mengembungkan perut’ diri sendiri.

“Apabila perkara ini disedari rakyat, semestinya menimbulkan perasaan tidak puas hati. Mereka sepatut mendahulukan rakyat, bukan kocek sendiri sahaja sehingga rakyat berasa tidak dipedulikan,” katanya.

Sementara itu, Azlan menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebagai bermaruah.

“Tindakannya itu (melepaskan jawatan) adalah betul dan beliau sudah mengambil tanggungjawab atas kekalahan BN.

“Beliau juga sudah menerima hakikat bahawa kekalahan BN pada kali ini adalah kekalahannya dan tindakan itu tepat bagi memberi ruang BN bangkit semula,” katanya.

scroll to top