Sunday , 27 May 2018

Home » Nasional » Kempen #UndiRosak Pernyataan Rasa Kecewa – Liow

Kempen #UndiRosak Pernyataan Rasa Kecewa – Liow

February 14, 2018 7:49 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kempen #UndiRosak Pernyataan Rasa Kecewa – Liow

Datuk Seri Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR,. Kempen #UndiRosak adalah bagi meluahkan perasaan kecewa yang berpunca daripada gelagat pembangkang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pembangkang dalam keadaan kelam-kabut sekarang sementara kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh menunjukkan bahawa mereka adalah satu tenaga yang positif.

“Kita sedang membina negara, namun, kita dapat melihat pihak pembangkang terus menerus menyebarkan berita fitnah dan palsu, dalam usaha menanam sikap kebencian di kalangan rakyat, jadi ia akan mengelirukan rakyat.

“Cara mereka menyebar berita palsu, terus menerus memutar belit berita politik dan ini akan mengganggu fikiran rakyat. Keadaan ini sangat negatif. Akan sampai satu ketika, rakyat akan berasa bosan dengan cerita dan berita negatif, katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis ‘ Going 50:People Behind The TARC History’ di sini, hari ini.

Kempen #UndiRosak muncul di media sosial, dengan para penyokong kempen menyuarakan pendapat mereka tentang cara untuk memboikot atau sengaja merosakkan undi mereka, sebagai satu tanda protes dan ketidakpuasan hati.

Bagaimanapun, Liow menggalakkan semua rakyat untuk keluar dan mengundi bagi mendapat sebuah kerajaan yang kuat.

“Semua orang mempunyai hak untuk meluahkan perasaan mereka dan kita akan mendapat kebebasan bagi sebuah masyarakat demokrasi.

“Kita mahu memastikan negara ini (terus membangun), apabila tiba masa pilihan raya umum, kita menggesa rakyat untuk mengundi bagi sebuah kerajaan yang kuat. Jika kerajaan tidak kuat, kita tidak dapat mentadbir negara ini dengan berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk membuat kesimpulan dan menghantar laporan terkini misi pencarian MH370 kepada pihak media setiap minggu.

“Belum ada maklumat terbaru memandangkan kapal pencari MH370 Seabed Constructor berada di Pelabuhan Fremantle, Australia,” katanya.

Pada bulan lepas, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity Limited bagi membongkar misteri kehilangan pesawat MH370.

— BERNAMA

scroll to top