Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Kemudahan Bahasa Isyarat Pada Perhimpunan Puteri UMNO

Kemudahan Bahasa Isyarat Pada Perhimpunan Puteri UMNO

December 7, 2017 7:36 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kemudahan Bahasa Isyarat Pada Perhimpunan Puteri UMNO

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bahasa isyarat itu disediakan supaya golongan kelainan upaya

KUALA LUMPUR,. Buat pertama kalinya, kemudahan bahasa isyarat disediakan sepanjang perjalanan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO tahun ini.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bahasa isyarat itu disediakan supaya golongan kelainan upaya turut sama mengetahui aspirasi yang diperjuangkan UMNO dan juga sayapnya selama ini.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu setelah melihat ramai anggota sayap itu membawa anak kecil dan mereka kelihatan berlari bebas sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

“Inilah perjuangan Puteri UMNO sejak 17 tahun kita berjuang, inilah cara bagaimana kami berjuang, meninggalkan keluarga selain ada yang terpaksa membawa sekali anak mereka sepanjang perhimpunan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menggulung ucapan dasar pada perhimpunan itu.

Dalam ucapan penggulungan pada akhir perhimpunan sayap itu, Mas Ermieyati menekankan konsep empat ‘T’ sebagai panduan perwakilan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Empat T itu adalah ‘temui’ anak muda dalam kalangan wanita muda Melayu untuk didaftarkan; ‘tolak’ fitnah yang berleluasa di media sosial; ‘tawan’ hati pengundi khususnya pengundi kali pertama dan ‘teruskan’ program Puteri Peduli untuk mendekati rakyat.

Menyentuh soal calon pada pilihan raya umum akan datang itu, Mas Ermieyati mahu semua anggota Puteri UMNO bersatu hati dan menyerahkan proses pemilihan calon kepada pucuk pimpinan.

“Memang kita nak orang muda, kita nak wanita tetapi PRU ini sangat penting dan Barisan Nasional mesti menang, maka kita serahlah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan menentukan calon yang memiliki sifat ‘WLWC’ iaitu ‘Winnable, Likeable, Workable dan Capable’,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top