Sunday , 24 March 2019

Home » Bisnes » Kemudahan pelupusan termoden RM1 bilion akan dibina di Jeram

Kemudahan pelupusan termoden RM1 bilion akan dibina di Jeram

December 10, 2018 3:09 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Kemudahan pelupusan termoden RM1 bilion akan dibina di Jeram

SHAH ALAM,. Worldwide Holdings Bhd (Worldwide Holdings) peneraju utama perkhidmatan pengurusan alam sekitar, akan membangunkan kemudahan ‘Waste-To-Energy’ (WTE) bernilai RM1 bilion di kawasan seluas enam hektar di Jeram, Selangor.

Pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh menggunakan teknologi WTE adalah sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC), yang pada masa sama bakal menjadi kemudahan WTE terbesar dan paling moden di Malaysia.

Projek itu juga dijangka akan mengurangkan penggunaan tanah bagi tapak pelupusan selain menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 20 peratus menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Paduka Norazlina Zakaria, WTE adalah teknologi pengurusan sisa pepejal yang boleh mengubah sisa menjadi tenaga dalam bentuk tenaga elektrik.

“Ia teknologi yang terbukti untuk menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional menggunakan kawasan tanah yang luas.

Janakuasa WTE yang dibangunkan oleh Worldwide Holdings menangani semua aspek isu alam sekitar melalui teknik rawatan moden dan berteknologi tinggi dalam mematuhi piawaian EU.

“Teknologi yang kami guna pakai mempunyai rekod prestasi cemerlang menggunakan ciri sisa pepejal yang sama di Malaysia. Sisa pepejal digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan relau bagi menjana stim yang membolehkan turbin menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian pembangunan bersama antara Worldwide Holdings dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama antara China Western Power Engineering & Construction Co Ltd dan China Western Power International bagi membina kemudahan itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Pengarah Urusan dan Naib Presiden, China Western Power Engineering & Construction, Wu Bin.

Bagi fasa pertama projek itu, ia membabitkan kos pembangunan berjumlah RM500 juta dan dibiayai Worldwide Holdings, manakala kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM40 juta bagi pengambilan tanah.

Norazlina berkata, fasa pertama loji WTE berkenaan akan siap untuk operasi komersial menjelang 2022, manakala fasa kedua disasarkan siap pada 2024.

“Kami turut mempunyai rancangan untuk membuka kemudahan sama di beberapa kawasan lain di Selangor iaitu di Tanjung 12, Kuala Langat dan Selayang” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, syarikat menguruskan kira-kira 5,000 tan sisa buangan domestik sehari di Selangor di enam tapak pelupusan di negeri ini.

Dengan kapasiti sampah sebanyak 1,200 tan sehari, fasa pertama kemudahan itu bakal menghasilkan antara 20-24 megawatt (MW) tenaga hijau dan mampu membekalkan tenaga bagi 25,000 isi rumah di sekitar kawasan berkenaan.

scroll to top