Friday , 21 June 2019

Home » Artikel Pilihan » Kerajaan baharu dan hala tuju politik negara

Kerajaan baharu dan hala tuju politik negara

May 19, 2018 7:30 am Category: Artikel Pilihan, Dewan Negara, Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Kerajaan baharu dan hala tuju politik negara

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menandakan penyatuan hati rakyat kepelbagai- an dari tsunami bandar pada PRU Ke-13 kepada tsunami rakyat dalam PRU Ke-14 yang inginkan dan mengharapkan kepada satu bentuk kerajaan adil, berintegriti dan national conscience terbina.

Sebelum PRU-14, rakyat tertekan dengan kos hidup terutama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dakwaan rasuah terutama dengan penyeleweng kuasa dan dakwaan rasuah 1MDB, tanah FELDA, governans (tadbir urus) buruk dengan pemecatan pegawai tinggi seperti Peguam Negara dan Gabenor Bank Negara.

Namun, pada hari mengundi pada 9 Mei lalu, pengundi memutuskan maruah diri dan negara yang telah dirobek hati mereka oleh ketamakan dan kerakusan kepemimpinan negara hingga tindakan perlu diambil, bukan dengan menolak tetapi tidak mengundi calon BN sepenuhnya.

Nyata pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri memecah kebuntuan politik Malaysia dari 2000 hingga hari ini.

Sebelum PRU-14, Barisan Nasional (BN) diperhatikan semakin hilang populariti undi di setiap PRU, tetapi masih mampu menguasai kerajaan.

Namun, dengan kehadiran Dr Mahathir bermula dengan demonstrasi Bersih, menubuh parti dan bergabung dengan PH telah meyakinkan rakyat Malaysia bahawa penyelamat pendaulat negara sudah tiba.

Tsunami rakyat

Keputusan PRU-14 membuktikan kali ini bukan tsunami Cina atau tsunami Hijau tetapi tsunami rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama dan wilayah.

Tsunami rakyat berlaku kerana identiti etnik dan agama ada tetapi menipis sebagai asas perkiraan untuk bertindak dalam kehidupan mereka.

Perubahan penipisan batas etnik dan agama ini berlaku hasil kerencaman sosial yang sedang mencorak masyarakat kepelbagaian hasil pembangunan, penghijrahan dan teknologi di negara ini yang membawa budaya kelas menengah, kosmopolitan dan komersial-industrial dalam kalangan rakyat di negara ini.

Dalam masyarakat kerencaman sosial hari ini, rakyat pelbagai etnik berhubungan secara horizontal dengan individu dan kumpulan lain, bukan memikirkan perkiraan kumpulan etnik dan agama yang berbeza, tetapi oleh dimensi keadilan, keterangkuman, kebebasan, pembabitan dan demokrasi.

Mereka mengutamakan mahu tadbir urus kerajaan yang baik dan pelaksanaan pembangunan kepada kumpulan sasaran pembangunan yang memerlukan diutamakan.

Cemuhan di media sosial

Malah, tadbir urus yang lemah, prestasi pembangunan tersasar, salah guna kuasa dan rasuah oleh kepemimpinan negara dan pegawai jentera kerajaan, pasti akan ditolak oleh rakyat dan menjadi bahan cemuhan di media sosial.

Dalam masyarakat desa dan tradisi, hubungan di antara individu dan kumpulan berjalan di atas hubungan menegak, di mana kedudukan kumpulan dalam susun lapis masyarakat yang terikat dengan dimensi etnik dan agama menjadi asasnya.

Namun, dengan pembangunan, perubahan sosial dan transformasi masyarakat terus berkembang, budaya masyarakat desa dan tradisi sebagai pengaruh ke atas tindakan rakyat Malaysia diperhatikan akan semakin mengecil dan tidak menjadi budaya utama dalam negara ini.

Perubahan masyarakat kepelbagaian di Malaysia dengan kerencaman sosial perlu difahami, keamatannya diketahui dan penjelasan kepada fenomena sosial ini.

Tanpa berterusan mengkaji pe-rubahan sosial dalam masyarakat ini, sudah pasti kepemimpinan politik, pegawai tinggi kerajaan dan pelaksana dasar awam tidak mampu mengurus negara ini dengan tepat.

Dalam suasana sosial dan politik negara berada pada ambang negara ‘baru dilahirkan semula’, kepemimpinan yang baru diamanahkan dalam PRU-14 dengan kuasa negara dan negeri-negeri pada hari ini, rakyat menagih mereka berusaha untuk mengembalikan maruah negara menerusi governans baik dan pembangunan dengan adil dan terangkuman di atas nilai keadilan, integriti, keterangkuman dan berdemokrasi.

Penulis adalah Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia

scroll to top