Thursday , 27 June 2019

Home » Artikel Pilihan » Kerajaan jangan salah guna Sosma: Suhakam

Kerajaan jangan salah guna Sosma: Suhakam

October 21, 2015 12:25 pm Category: Artikel Pilihan A+ / A-

SUHA
SHAH ALAM – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan melaksanakan peruntukan undang-undang di negara ini secara lebih berkesan bagi mengelak pelanggaran perlembagaan.

Pemangku Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata, gesaan itu merujuk kepada isu penahanan beberapa individu baru-baru ini bawah Akta kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) berhubung laporan yang dibuat terhadap sebuah syarikat milik kerajaan.

Menurut Lake Tee, pihaknya khuatir dengan apa yang berlaku memandangkan definisi kesalahan bawah Sosma menunjukkan akta berkenaan telah diluaskan bukan sahaja bagi kesalahan keganasan malah turut melibatkan ideologi politik.

“Penahanan individu tersebut menyalahi Seksyen 4(3) akta berkenaan yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan bawah undang-undang tersebut semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politik,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu, Lake Tee menyatakan pihaknya berasa sangat kecewa dengan pelanggaran perlembagaan yang semakin berleluasa dan terang-terangan malah paling dibimbangkan adalah undang-undang itu disalah guna untuk menyekat kebebasan politik dan perbezaan pendapat.

“Apa yang membimbangkan, kerajaan masih menggunakan Sosma walaupun mereka mempunyai kuasa yang luas untuk mendakwa seseorang dengan menggunakan undang-undang jenayah sedia ada,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, Lake Tee turut mengingatkan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memelihara kredibiliti bagi mengelak ia tercalar disebabkan penyalahgunaan undang-undang.

“Suhakam turut berasa kesal memandangkan pengkritik kerajaan sering kali didakwa melalui undang-undang keselamatan negara yang dibimbangi akan menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia,” tegasnya.

scroll to top