Wednesday , 27 March 2019

Home » Bisnes » Kerajaan kaji semula dasar bagi meluaskan teknologi tanpa wayar

Kerajaan kaji semula dasar bagi meluaskan teknologi tanpa wayar

January 11, 2019 7:45 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Kerajaan kaji semula dasar bagi meluaskan teknologi tanpa wayar

PETALING JAYA,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji semula beberapa dasar terutama mengenai spektrum dan struktur industri, dalam usaha meluaskan teknologi tanpa wayar, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan misi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara digital.

“Teknologi tanpa wayar adalah penting untuk mencapai objektif ini dan kementerian saya sedang mengkaji beberapa dasar, terutamanya mengenai spektrum dan struktur industri untuk mewujudkan industri yang lebih mampan dan situasi menang-menang bagi rakyat, kerajaan dan pengendali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran pejabat korporat baharu Celcom Axiata di sini hari ini.

Gobind berkata akses ke capaian internet, berwayar atau tanpa wayar, membuka seluruh dunia kepada pengguna dan beliau percaya ini adalah antara satu yang paling berkesan untuk memperkasakan rakyat.

Gobind berkata peningkatan akses internet adalah penting untuk membentuk masa depan ekonomi Malaysia.

“Bluprin Malaysia bagi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), yang dikenali sebagai Industry4WRD, telah pun dibentang oleh Perdana Menteri kita (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Tidak mustahil, sokongan kuat daripada peserta industri, pihak berkepentingan dan pemboleh teknologi seperti Celcom akan menjadi pemangkin kejayaannya,” kata beliau.

Bangunan menara ibu pejabat korporat Celcom yang baharu, setinggi 31 tingkat, berkeluasan 450,000 kaki persegi menawarkan persekitaran kerja yang moden dan digital.

Turut hadir Pengerusi Celcom Axiata Berhad Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Idham Nawawi.

— BERNAMA

scroll to top