Sunday , 21 October 2018

Home » Dewan Rakyat » Kerajaan nak selamatkan ‘mak nyah’

Kerajaan nak selamatkan ‘mak nyah’

July 23, 2018 1:36 pm Category: Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Kerajaan nak selamatkan ‘mak nyah’

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR,. Kerajaan berhasrat mengeluarkan golongan ‘mak nyah’ daripada terus terjerumus dalam kancah industri seks di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menyuarakan komitmen itu menjelaskan masalah berkenaan semakin meruncing susulan beberapa faktor.

Katanya, ia termasuk diskriminasi yang dialami golongan ‘mak nyah’ di tempat kerja, sekali gus mengundang risiko untuk mereka terperangkap dalam industri seks.

“Kita ada statistik yang menunjukkan 80 peratus golongan mak nyah terbabit dalam industri seks. Kalau kita amalkan diskriminasi di tempat kerja, mereka akan terus berada dalam ‘dunia ini’.

“Sedangkan PH (Pakatan Harapan) berhasrat untuk keluarkan mereka (mak nyah) daripada industri (seks) ini,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-UMNO Jerantut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Nazlan meminta perincian sama ada kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penularan budaya songsang LGBTQ yang semakin membimbangkan, selaras peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan hak komuniti LGBTQ (lesbian, gay, biseksual dan transgender) mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkannya di Malaysia.

Beliau berharap pendirian berkenaan tidak diputar belit segelintir pihak, kononnya kerajaan diterajui PH mesra LGBTQ.

“Saya perlu ulang (pendirian ini) dan jangan putar. Usah pula dekat mimbar khutbah kata kerajaan PH mesra LGBTQ,” katanya.

Mujahid berkata, beberapa peruntukan undang-undang boleh digunakan untuk menangani penularan ‘budaya kuning’ itu, termasuk Seksyen 377A Kanun Keseksaan, selain Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri.

Katanya, peruntukan jenayah syariah itu merangkumi pelakuan liwat, musahaqah atau lesbian dan orang lelaki berlagak seperti perempuan seperti termaktub menerusi Seksyen 25, 26 dan 28 dalam enakmen berkenaan.

“Bidang kuasa agama sebenarnya tertakluk kepada kerajaan negeri, namun atas dasar pendekatan menyeluruh yang ingin dilaksanakan kerajaan, kita akan teruskan beberapa inisiatif dirangka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dalam usaha menyantuni golongan ini (LGBTQ), kita laksanakan aktiviti temu seru di kawasan yang dikenal pasti di seluruh negara.

“Ajak mereka yang beragama Islam, menyertai program ilaj wa syifa (rawatan dan pemulihan) menerusi pendekatan sukarela, bukan paksaan,” katanya.

scroll to top