Tuesday , 20 November 2018

Home » Artikel Pilihan » Kerajaan perlu tegas tangani ancaman isu agama, bahasa

Kerajaan perlu tegas tangani ancaman isu agama, bahasa

August 27, 2018 12:09 pm Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Kerajaan perlu tegas tangani ancaman isu agama, bahasa

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu membawa satu dimensi baharu dan mengubah landskap politik negara Malaysia.

Robohnya tembok besar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama 61 tahun ialah episod bersejarah kepada warna politik negara.

Kemenangan ini telah diterima dengan emosi suka dan duka. Suka bagi yang gembira dengan kemenangan PH yang telah diberi mandat untuk memerintah. Duka bagi yang masih setia dan cuba mempertahankan status quo BN.

Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada kerajaan baharu sesuai dengan nama kerajaan baharu gabungan pelbagai parti dengan jenama ‘Pakatan Harapan’. Namanya pun sudah menggambarkan aspirasi, gaya dan bentuk kerajaan yang cuba ditawarkan kepada masyarakat.

Pengumuman dan iltizam kerajaan baharu menghapuskan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan memperkenal Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ialah langkah awal ke arah mengurangkan beban hidup rakyat yang rata-rata tertekan dan tidak berpuas hati dengan GST.

Ia menjadi antara faktor kerajaan BN ditumbangkan dalam PRU-14 yang lalu, selain isu korupsi, khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain.

Komitmen dan keazaman kerajaan PH membina semula ekonomi negara yang dianggap telah rosak di bawah pemerintahan BN dan membina kesejahteraan hidup rakyat dengan inisiatif membanteras rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan dalam pelbagai sektor dilihat memberikan sinar baharu kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia.

Media lebih terbuka

Kebebasan media di bawah kerajaan PH ialah satu perubahan yang sangat positif bagi memacu Malaysia menjadi negara aman, maju, kompetetif dan makmur.

Dasar dan amalan media seperti ini seolah-olah ditutup rapat pada era pemerintahan BN. Semua pihak kini boleh memberikan pandangan secara bebas dan terbuka, sama ada orang awam mahupun ahli politik.

Pada era kekuasaan BN, hanya ahli politik BN saja yang begitu bebas memberikan pandangan ataupun pandangan orang bukan politik yang pandangan mereka selari dengan kehendak BN saja diterbitkan dalam akhbar, atau disiarkan oleh televisyen.

Dasar mesra rakyat dalam kalangan menteri dan timbalan menteri PH juga lebih terserlah. Satu hal yang jelas juga, kesilapan kerajaan BN ialah cuba menutup atau menyorok sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.

Dasar kerajaan tidak terbuka untuk dikritik. Malah jika ada pihak yang lantang mengkritik dan cuba mengkritik akan diambil tindakan, termasuk dalam kalangan BN sendiri.

Amalan memilih pentadbir yang sealiran wadah politik berbanding merit yang menjadi amalan pentadbiran rejim BN sejak sekian lama telah mewujudkan satu iklim pentadbiran yang tidak sihat.

Orang yang lebih berwibawa dan berintegriti tidak diberi peluang menjawat kedudukan strategik dan penting, lantaran tidak sealiran dengan politik kerajaan yang memerintah pada ketika itu.

Budaya dan gaya yang diamalkan Kerajaan BN in sebenarnya menumbuhkan ‘api dalam sekam’ yang akhirnya membakar corak pemerintahan ‘draconian’ itu.

Kebebasan media yang diamalkan kerajaan baharu PH ini, bagaimanapun nampaknya diambil kesempatan oleh pelbagai pihak. Dasar Kerajaan PH yang lebih terbuka dan agak liberal ini juga telah mencetuskan satu suasana baharu yang menggelisahkan rakyat, khususnya masyarakat Islam.

Isu berkaitan agama Islam, bahasa Melayu juga Raja-Raja Melayu nampaknya menjadi sasaran serangan pihak tertentu pada era Malaysia baharu ini.

Berani di media sosial

Bibit-bibit berkaitan isu ini sudah ada pada era rejim pemerintahan lama, namun tidaklah segalak era baharu. Media sosial menjadi medan mereka yang semakin berani menggugat Islam, bahasa dan Raja. Malah, terdapat kalangan individu yang bergelar Melayu Muslim juga turut memberi saham dalam meruntuhkan agama Islam dan bahasa Melayu.

Paling mencuri tumpuan ialah isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mendapat komentar dan reaksi pelbagai pihak. Ada yang menentang, ada yang menyokong. Malah, terdapat segelintir pihak yang tanpa segan silu mempromosi LGBT.

Persoalan berkaitan agama, bahasa dan isu sosial seperti LGBT jelas satu ancaman yang meresahkan sebahagian besar masyarakat Islam, khususnya Melayu Islam yang menjadi bangsa teras negara ini.

Gabungan pelbagai parti yang berada dalam kerajaan PH dengan tuntutan masing-masing ialah satu cabaran besar yang perlu ditangani dengan bijaksana.

Kerajaan PH perlu menyeimbangkan di antara kemahuan dan tuntutan parti komponen dengan menjaga kepentingan berkaitan umat Islam dan masyarakat Melayu sebagai agama dan bangsa teras negara ini sejak sekian lama (berdasarkan kontrak sosial yang sedia terbina).

Islam sebagai agama Persekutuan dengan hak istimewa seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diganggu gugat, di samping sikap toleransi terhadap agama dan bangsa lain yang sama-sama mendiami negara ini.

Sekiranya kerajaan mengambil sikap tidak peduli terhadap ancaman, hinaan dan gugatan terhadap hal berkaitan kepentingan orang Islam dan bangsa Melayu, di samping beberapa manifesto yang masih belum ditunaikan, terutamanya penghapusan tol dan penurunan harga minyak, tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Cakap-cakap yang melabelkan kerajaan PH sekarang sebagai ‘kerajaan persepsi’ sudah mula kedengaran. Persepsi seperti ini perlu dihapuskan segera dengan mengambil langkah proaktif ke arah menunaikan janji yang dicanang dalam PRU-14 lalu, sekiranya kerajaan PH berhasrat meneruskan kelangsungan pemerintahannya dengan lebih lama.

Kerajaan tidak boleh mengambil masa terlalu lama melunaskan janji khususnya berkaitan tol, minyak dan penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bermain di sebalik isu hutang negara.

Dibimbangi kesabaran rakyat ada hadnya. Sekali rakyat boleh menumbangkan kerajaan yang tidak mereka senangi, tidak sukar pula untuk mereka memilih kerajaan baharu yang dapat memenuhi harapan dan aspirasi mereka.

Pilihan dan kebijaksanaan ada pada tangan kerajaan PH. Terpulanglah sama ada melaksanakannya ataupun tidak. Yang pasti, rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan PH, demi kesejahteraan hidup mereka dan generasi akan datang.

Sama-samalah kita mendoakan Malaysia kembali menjadi ‘Harimau Asia’ dengan kekuatan ekonomi seperti tersiar dalam akhbar di United Kingdom sekitar 1994. Kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin penuh karisma dan disegani, diharapkan mampu menjelmakan kembali Malaysia sebagai Harimau Asia.

Penulis adalah Profesor Program Pengajian Dakwah & Kepemimpinan, Pusat Kesejahteraan Insan & Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

scroll to top