Thursday , 19 July 2018

Home » Nasional » Kerajaan Persekutuan tanggung baki pinjaman mangsa tsunami

Kerajaan Persekutuan tanggung baki pinjaman mangsa tsunami

March 22, 2018 4:34 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Kerajaan Persekutuan tanggung baki pinjaman mangsa tsunami

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

SUNGAI PETANI,. Lebih 126 keluarga mangsa tsunami yang ditempatkan di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda, di sini tidak lagi perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM50 berkuatkuasa serta merta.

Perkara diumumkan sendiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam ucapan perasmian program Jamuan Muafakat Rakyat sempena Jelajah Muafakat Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka di Dataran Tsunami, di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya menganggarkan hampir kesemua penghuni mempunyai pinjaman bank lebih 10 tahun lagi selepas membuat pinjaman selama 20 tahun.

“Kita sudah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan bayaran ansuran dengan baki hutang terbabit dilunaskan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

“Penduduk tidak perlu lagi membayar pinjaman bank terbabit. Usaha ini adalah bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi peminjam.

“Usaha ini adalah menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kebajikan rakyat dipelihara selain mengurangkan bebanan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Ramli berkata, pengumuman terbabit membuat dirinya lega kerana baki pinjaman rumah dilangsaikan kerajaan.

“Bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji yang rendah sudah pasti bayaran ansuran sebanyak RM50 dianggap berat hingga perlu melakukan penjimatan.

“Apabila kerajaan mengumumkan baki pinjaman ditanggung mereka, maka ia membolehkan duit terbabit digunakan untuk perkara lain seperti membayar cukai pintu, bil eletrik atau membeli barang keperluan rumah,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Nur Hana Abu Bakar, 53, berkata pemansuhan bagi pinjaman perumahan sememangnya satu tindakan yang disambut mesra penduduk.

“Saya sudah tinggal di sini lebih 13 tahun dan sepanjang tempoh itu, kami membayar pinjaman RM50 sebulan tetapi dengan keprihatinan Menteri Besar Kedah, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya.

scroll to top