Monday , 22 July 2019

Home » Bisnes » Kerajaan terus tarik pelaburan bernilai tambah dan berteknologi tinggi dalam sektor pembuatan – PM

Kerajaan terus tarik pelaburan bernilai tambah dan berteknologi tinggi dalam sektor pembuatan – PM

March 20, 2019 6:52 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Kerajaan terus tarik pelaburan bernilai tambah dan berteknologi tinggi dalam sektor pembuatan – PM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan terus menarik pelaburan bernilai tambah dan berteknologi tinggi serta berintensifkan pengetahuan dalam sektor pembuatan untuk melengkapi rantaian nilai dalam ekosistem industri yang disasarkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah mengenal pasti industri aeroangkasa sebagai antara subsektor pemangkin dalam kajian semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia Kesebelas.

“Kita menyasarkan untuk menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara di samping menjadi sebahagian pasaran global penting menjelang 2030.

“Usaha khusus sedang dilaksanakan merangkumi kemudahan industri, pembangunan rantaian bekalan tempatan, pembangunan kompetensi, penyelidikan dan teknologi serta kerjasama antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir juga berkata tumpuan kepada sektor perkhidmatan adalah dalam bidang pelancongan, penjagaan kesihatan swasta dan perkhidmatan profesional, runcit serta makanan dan minuman.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kita mahu ia menjadi pemangkin dalam memacu industri pelancongan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata semasa khidmat pertamanya sebagai perdana menteri, beliau bukan hanya mahu memperolehi pelaburan dari Jepun melalui Dasar Pandang ke Timur malah ingin mempelajari etika kerja rakyat negara maju itu.

Etika kerja itu menurut beliau termasuk perasaan malu apabila gagal menyempurnakan tugasan, bekerja keras serta jujur, yang akan mendorong rakyat Malaysia melakukan yang terbaik.

Dr Mahathir menegaskan di samping pertumbuhan ekonomi dan institusi dititikberatkan, manfaat kepada rakyat juga adalah sama penting.

“Kita tahu pembangunan negara bukan hanya mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar atau permodalan pasaran bagi pasaran saham, sebaliknya ia juga mengenai pembangunan taraf hidup yang lebih baik untuk semua orang,” katanya.

Invest Malaysia 2019 selama dua hari itu dianjurkan bersama Bursa Malaysia Bhd dan Malayan Banking Bhd dengan tema ‘Ambition, Purpose, Clarity’ (Cita-cita, Matlamat, Kejelasan).

— BERNAMA

scroll to top