Friday , 21 September 2018

Home » Bisnes » Kesempurnaan CR-V

Kesempurnaan CR-V

July 7, 2018 1:59 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Kesempurnaan CR-V

KENDERAAN utiliti sukan (SUV) Honda CR-V menjadi pilihan kebanyakan mereka yang memilih jenama dari Jepun dan ia semakin popular di Malaysia sejak sekian lama.

Populariti Honda CR-V terus melonjak selepas beberapa penambahbaikan dari segi gaya diperkenalkan di pasaran Malaysia yang kini memasuki generasi kelima.

Langkah Honda Malaysia membawa masuk teknologi terkini, iaitu Honda SENSING, menambah penyeri kepada model SUV ini, sekali gus meningkatkan keupayaannya dalam menarik minat pembeli di pasaran domestik.

Peluang memandu uji varian Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD dengan Honda SENSING mencetuskan perasaan ghairah penulis kepada model jenama terkemuka Jepun ini.

Didatangkan dengan enjin 1.5 liter Turbo, ia mampu menghambur sehingga 190 kuasa kuda (hp) pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm pada 2,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi CVT.
FormatFactoryhhondacrvvsns02.transformed
Kuasa mengujakan

Dengan kuasa yang ditampilkan ia memberikan pemanduan mengujakan dan optimum memandangkan tahap responsifnya cukup memuaskan, apatah lagi apabila menekan pedal minyak ketika berada pada kedudukan pegun.

Meskipun hadir dengan kuasa turbo, penggunaan bahan api Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD juga cekap yang mana ia mampu mencapai tujuh liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Apa yang menarik adalah teknologi Honda SENSING di mana Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif, termasuk fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).
FormatFactoryhhondacrvvsns04.transformed
Menerusi Honda SENSING, ia menawarkan penulis keselesaan kerana sistem keselamatan canggih ternyata memberi kemudahan dan sangat praktikal.

Paling menakjubkan adalah fungsi CMBS di mana jentera mampu membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas tepat pada waktunya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

Pelengkap keselamatan

Pelengkap kejuruteraan Honda CR-V adalah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pengendalian Tangkas (AHA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan Honda LaneWatch Camera sebagai ciri standard untuk semua varian.

Sementara itu, Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD memiliki pelbagai penambahbaikan termasuk Advanced LED sepenuhnya, selain ia turut disertakan dengan Auto High Beam dan Active Cornering Light.

Selain itu, teknologi LED turut diterapkan Honda untuk lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek. Ia tidak hanya varian Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD tetapi membabitkan semua varian.
FormatFactoryhhondacrvvsns06.transformed
Menyentuh reka bentuk luaran, seperti varian lain, Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD hadir dengan bahagian sisinya dengan garisan lekuk bagi aerodinamik untuk membantu daripada segi prestasi kenderaan.

Pada bahagian belakangnya pula, sedikit sentuhan berbeza turut diberikan, dengan menampilkan lampu belakang LED dengan rekaan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, bersambung pula pada pintu tailgate.

Cuma varian Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD hadir dengan pintu tailgate berkuasa di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka.

Penambahbaikan untuk varian ini juga adalah dua corong tip ekzos krom.

Memasuki ruang kabin, hampir seluruh ruang mendapat sentuhan elegan dan menarik termasuk papan pemuka yang hadir dengan material kulit sentuhan lembut berwarna hitam dengan kekemasan kayuan.

Elegan lagi mempesona

Bagi mencetuskan tona sekata, bahagian konsol tengah yang dilengkapi dengan fungsi pelbagai-guna versatil hadir dengan material sama.

Seperti varian lain, varian tertinggi ini turut menerima panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan penahan brek auto, pendingin hawa auto dwi-zon dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan pembesar suara.

Dengan bahagian kargo berkapasiti 522 liter dan mampu mencecah sehingga 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata, ia sudah memadai bagi mereka memiliki keluarga sederhana untuk menempuh perjalanan jauh.

Kesimpulannya, adakah harga jualan tanpa insurans (sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan) RM158,225 untuk varian Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD ini boleh menjadi pelaburan berbaloi untuk anda yang ingin SUV yang memiliki tahap keselamatan terbaik? Anda sendiri boleh beri jawapannya.

Info:
Honda CR-V 1.5L TC-P 2WD

Harga jualan tanpa insurans (sifar cukai barang dan perkhidmatan) RM158,225

Enjin 1.5 liter Turbo CVT

190 hp @ 5,600 rpm dan tork 243 Nm @ 2,000 rpm

Teknologi Honda SENSING merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF),

Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping

Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM)

scroll to top