Saturday , 25 May 2019

Home » Nasional » Ketersambungan internet bakal jadi syarat kemudahan utiliti – Gobind

Ketersambungan internet bakal jadi syarat kemudahan utiliti – Gobind

April 23, 2019 7:20 am Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
Ketersambungan internet bakal jadi syarat kemudahan utiliti – Gobind

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam proses mencadangkan supaya ketersambungan Internet (Internet connectivity) disenaraikan sebagai kemudahan utiliti seperti mana bekalan air dan elektrik.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata cadangan itu antara usaha untuk memperluas akses ketersambungan jalur lebar di seluruh negara.

“Saya dalam proses mencadangkan kepada kerajaan, supaya kita boleh mewujudkan satu polisi bahawa ‘Internet connectivity’ sebagai satu utiliti, bermaksud kita beri penekanan sama rata seperti air dan elektrik sekiranya kita berjaya bawa polisi sedemikian.

“Kita kena terima hakikat, semua dunia akan maju dengan bantuan Internet, kerana itu kerajaan ambil langkah aktif dan proaktif dalam memastikan Internet dibekalkan pada semua rakyat Malaysia, tidak kira di mana-mana, kena ada akses kepada Internet.

“Jadi di masa depan, kita tidak perlu lihat pembinaan ini ada masalah ‘connectivity’, kena jumpa kontraktor telco tarik fiber yang makan masa dan kos tinggi…jadi kita ingin atasi masalah ini yang mana ini salah satu pencapaian dalam kementerian saya. Kita faham dan kita terima pentingnya connectivity ini,” katanya dalam temu bual khas sempena setahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan di pejabatnya di Wisma Angkasapuri hari ini.

Menurut Gobind, cadangan itu juga telah dibincangkan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin), dan mana terdapat cadangan keperluan untuk memastikan semua bangunan dalam projek pembangunan baru, sama ada kediaman atau pejabat, dilengkapi dengan kemudahan (sambungan) Internet.

Dalam pada itu, Gobind dalam temu bual itu turut menarik perhatian mengenai usaha kementerian untuk merendahkan harga perkhidmatan Internet bagi membolehkan semua pihak mendapat akses yang sama ke dunia teknologi dengan kelajuan Internet yang mencapai taraf global untuk dimanfaatkan dalam pelbagai sektor seperti projek pertanian, perladangan, perubatan, pengangkutan dan e-dagang.

“Di Malaysia, belum ada ketetapan secara rasmi apakah kelajuan yang seharusnya rakyat dapat untuk kita dikatakan berjaya wujudkan infrastruktur yang baik. Secara tak rasmi kita sudah letak 30 Mbps dan pada masa itu, kita tetapkan, bagaimana ingin mencapai tahap itu dan pada masa yang sama kita dapat kurangkan kos harga jalur lebar

“Jadi apabila kita perkenalkan harga baharu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), kita lihat harga jalur lebar berkurangan. Harganya turun dalam sesetengah kes, hampir lebih separuh. Tapi secara purata bagi keempat-empat syarikat telekomunikasi kita, ia telah turun kepada hampir 50 peratus,” katanya.

Antara matlamat utama kewujudan NFCP ialah sasaran mencapai garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps supaya 5G dapat dilaksanakan secara efektif di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman.

Sementara itu, ditanya mengenai aduan diterima pihaknya berkaitan Internet dan kelajuan, Gobind berkata walaupun pengumuman mengenai matlamat kementerian itu telah diumumkan, namun ia mengambil masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita sudah ada data dan kita telah cari jalan untuk selesaikannya. Kita kena ambil masa. Memang ada usaha telah dilaksanakan pihak yang terlibat dalam proses penambahbaikan tersebut. Contohnya untuk Streamyx, kita sudah berbincang dengan TM.

“Cuma belum lagi sampai masa untuk membuat pengumuman. Dalam dua hingga tiga minggu ini, harap kita boleh buat pengumuman dan dapat selesaikan masalah ini dengan kadar secepat sebolehnya,” tambahnya.

Gobind berkata Internet dan ketersambungan antara fokus utama pihaknya dalam memastikan infrastruktur ini dinikmati dan dimanfaatkan dan segala masalah berbangkit seperti kos dan kelajuan diselesaikan sejak mengambil alih kementerian tersebut 11 bulan lepas.

“Projek perintis 5G (Generasi Kelima) sebahagian daripada itu (matlamat). Ia juga berkaitan dengan perluasan NFCP yang berkaitan dengan infrastruktur dan membawa perubahan.

“Kita kena terima hakikat, 10 hingga 20 tahun lepas, teknologi itu mungkin utama tetapi hari ini, kelajuannya perlahan, tidak sampai tahap yang sepatutnya. Kerana itu melalui NFCP, kita tumpu untuk atasi masalah ini dan juga bina sistem rangkaian yang lebih efektif,” katanya.

Tegasnya, faktor ketersambungan itu penting dalam memberikan rakyat akses kepada pelbagai maklumat dan kejayaan pada masa depan selain meningkatkan pengetahuan di dalam semua bidang yang berkaitan dengan kehidupan masing-masing.

— BERNAMA

scroll to top