Monday , 10 December 2018

Home » Bisnes » Keuntungan, pendapatan Apple melonjak

Keuntungan, pendapatan Apple melonjak

May 2, 2018 1:18 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Keuntungan, pendapatan Apple melonjak

Apple Inc

NEW YORK,. Apple Inc mencatatkan peningkatan besar dalam pendapatan suku keduanya dan mendedahkan rancangan bagi pembelian semula saham baru bernilai AS$100 bilion (RM392.8 bilion), sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai prospek iPhone dan ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Saham Apple meningkat mendadak selepas laporan itu, di mana ia mengatasi jangkaan penganalisis dari segi keuntungan dan jualan.

Syarikat itu meraih pendapatan lebih tinggi di semua rantau pasaran dan kategori produk, meskipun jualan iPhone tidak melepasi jangkaan.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook mendedahkan unjuran positif syarikat dengan menegaskan rangkaian produknya adalah terbaik dan jualan yang baik untuk iPhone 10, walaupun baru-baru ini Apple mengumumkan tanda harga AS$1,000 (RM3,927.62) yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia terlalu tinggi.

Saham Apple melonjak berikutan laporan itu dengan ia menokok 3.8 peratus kepada AS$175.49 (RM689.26).

Keuntungan bagi suku tahun berakhir 31 Mac melonjak 25.3 peratus kepada AS$13.8 bilion (RM53.7 bilion) disokong peningkatan pendapatan 15.6 peratus kepada AS$61.1 bilion (RM239.98 bilion).

Apple menggunakan dana tunai yang diraih menerusi keuntungan kukuh hasil datripada rancangan pemotongan cukai AS pada 2017 dengan mengumumkan rancangan pembelian balik saham baru bernilai AS$100 bilion (RM392.8 bilion), selain meningkatkan dividen suku tahun sebanyak 16 peratus.

Ketua Pegawai Kewangan, Luca Maestri, berkata syarikat itu akan melaksanakan pembelian saham pada kadar ‘pantas’, namun ia bergantung kepada pasaran.

Penganalisis memuji lonjakan besar pendapatan dalam perniagaan perkhidmatan Apple, yang dilihat sebagai elemen penting dalam mempelbagaikan perniagaan berbanding hanya tertumpu kepada pendapatan gajet.

Perniagaan perkhidmatan Apple melonjak 31 peratus kepada AS$9.2 bilion (RM36.1 bilion) berikutan peningkatan mendadak dalam Apple Pay, Apple Music program lain.

– AFP

scroll to top