Tuesday , 23 July 2019

Home » Artikel Pilihan » Keyakinan pelabur terhadap ekonomi Johor utuh

Keyakinan pelabur terhadap ekonomi Johor utuh

July 8, 2019 8:26 am Category: Artikel Pilihan A+ / A-
Keyakinan pelabur terhadap ekonomi Johor utuh

Datuk Dr Sahruddin Jamal

ISKANDAR PUTERI,. Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menyangkal dakwaan pihak pembangkang kononnya keyakinan pelabur untuk melabur di negeri itu, sudah menurun.

Beliau berkata keyakinan pelabur terhadap suasana dan ekosistem ekonomi negeri dapat dlihat menerusi penerimaan pelaburan tahunan tertinggi di Malaysia.

Selain itu, prospek pertumbuhan ekonomi Johor juga dilihat positif tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan pada kadar lima hingga 5.5 peratus.

“Oleh itu, pihak pembangkang tidak perlu risau terhadap perancangan dan jumlah kemasukan pelabur asing di Johor.

“Exco pelaburan (Jimmy Puah Wee Tse) bersama agensi pelaburan kerajaan persekutuan seperti MIDA dan agensi kerajaan negeri melalui Pusat Pelaburan Johor (JSIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan kerajaan Johor telah melipatgandakan usaha bagi menarik lebih banyak syarikat dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata kedudukan Johor berhampiran Singapura, akan memberi kelebihan ekonomi kepada negeri itu pada masa depan.

Sementara itu, berhubung isu GLC yang dikatakan tidak menjana keuntungan dan membebankan kerajaan, Dr Sahruddin berkata satu Unit Khas akan diwujudkan bagi menganalisis dan memantau pelaburan dibuat GLC ini, termasuk GLC di bawah Perbendaharaan Negeri Johor.

“Unit ini akan meneliti dan memantau prestasi kewangan GLC secara berkala serta mencadangkan langkah terbaik bagi memantapkan prestasi kewangan GLC.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri, sebagai ejen pemangkin pembangunan Johor, melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat, termasuk pembinaan Rumah Mampu Biaya, kemudahan pendidikan dan penyediaan infrastruktur awam,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan negeri yang kini dalam peringkat akhir untuk menyemak semula pindaan cukai tanah bagi tahun 2020-2029, Dr Sahruddin berkata ia akan dibuat berlandaskan lima prinsip, termasuk mengenakan kadar cukai tanah yang lebih sesuai dan munasabah mengikut keadaan, kegunaan dan keluasan tanah.

Selain itu, ia diharap dapat menggalakkan kemasukan pelaburan asing dan merancakkan pertumbuhan pelaburan tempatan, di samping meningkatkan terimaan hasil kerajaan negeri.

— BERNAMA

scroll to top