Monday , 23 July 2018

Home » Sukan » Khairul Hafiz Jantan Perlu motivasi diri

Khairul Hafiz Jantan Perlu motivasi diri

July 14, 2018 1:09 pm Category: Sukan A+ / A-
Khairul Hafiz Jantan Perlu motivasi diri

Khairul Hafiz Jantan

KUALA LUMPUR,. Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan perlu bangkit ketika pesaing utamanya dalam acara pecut 100 meter (m) di rantau Asia Tenggara dan Asia sudah mula menunjukkan taring.

Pelari muda Indonesia, Lalu Muhammad Zohri mencatatkan kepantasan 10.18 saat untuk muncul juara Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (U20) di Tampere Finland, baru-baru ini.

Kepantasan dilakar Lalu sama seperti rekod peribadi terbaik dicipta Khairul Hafiz ketika menjuarai acara riben biru itu di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak 2016.

“Kita sudah menyedari potensi dan cabaran yang akan diberikan Lalu sejak awal tahun lagi, iaitu ketika di Kejohanan Pra-Sukan Asia di Jakarta, Indonesia.

“Jadi Khairul Hafiz kena memotivasikan dirinya kembali. Dia juga perlu bermula dari sekarang supaya dapat mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA, tahun depan,” kata jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim, ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Poad memohon supaya pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu bagi membantu melonjakkan prestasi atlet ke peringkat lebih tinggi.

“Dari dulu lagi kita minta menghantar atlet ke luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) untuk jangka masa panjang, bukan sebulan. Sudah lama kita bersedia tetapi saya faham mungkin ia disebabkan kekangan kewangan, apa pun usaha perlu dilakukan untuk memantapkan prestasi atlet,” katanya.

Khairul Hafiz pernah menyertai sama itu pada 2016 yang ketika itu berlangsung di Bydgoszcz, Poland, namun hanya mara ke separuh akhir yang menyaksikan pingat emas menjadi milik Noah Lyles dengan catatan 10.17s.

Pencapaian terbaik milik Khairul Hafiz yang turut digelar The Speedy Jantan musim ini adalah 10.34s ketika mengungguli Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, Mac lalu.

scroll to top