Friday , 22 June 2018

Home » Sukan » Khairul Hafiz perlu lepasi 10.18s

Khairul Hafiz perlu lepasi 10.18s

June 13, 2018 5:38 am Category: Sukan A+ / A-
Khairul Hafiz perlu lepasi 10.18s

Khairul Hafiz Jantan

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, perlu melepasi catatan masa 10.18 saat (s) jika mahu layak secara merit dalam kategori A ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Berikutan itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Zainal Abas menegaskan Khairul Hafiz perlu berusaha keras melepasi catatan yang dibuat oleh pemenang tempat keempat di Sukan Asia Incheon 2014 terbabit.

Ini kerana, ketika ini Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan dengan menaikkan taraf kelayakan ke Sukan Asia dengan menetapkan hanya atlet yang berada dalam ranking atau kelompok empat terbaik layak secara automatik menerusi kategori A.

“Jika dia boleh berlari lebih laju dan melepasi catatan masa 10.18s berkenaan, maka Khairul Hafiz akan layak secara automatik ke Sukan Asia 2018.

“Bagaimanapun, setakat ini catatan terbaik Khairul Hafiz pada 2018 adalah 10.34s. Jika dia gagal layak ke Sukan Asia menerusi acara 100m, maka peluang terbaik adalah menerusi pasukan kuartet 4x100m.

“Kalau kuartet 4x100m Malaysia berjaya layak secara merit ke Sukan Asia 2018, maka kita mungkin boleh hantar Khairul Hafiz dan Jonathan Nyepa untuk menyertai acara individu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum ini media melaporkan, kejutan berlaku dalam acara 100m di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, baru-baru ini Khairul Hafiz gagal menamatkan cabaran di kedudukan podium.

Malah, ketika harapan untuk menyaksikan Khairul Hafiz yang digelar sebagai ‘Speedy Jantan’ itu melakarkan satu lagi kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pelari berusia 20 tahun itu sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

Dia merekodkan catatan 10.64s, jauh daripada rekod kebangsaan yang dicatatnya pada 2016 pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016, iaitu 10.18s.

Emas dalam acara itu dimenangi pelari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva 10.27s yang turut diiktiraf sebagai rekod baru kejohanan. Perak milik Jonathan Nyepa, 10.40s dan juara bertahan, Haiqal Hanafi, 10.58s gangsa.

Bagaimanapun menurut Khairul Hafiz, acara 100m yang berlangsung itu sepatutnya tidak diiktiraf apabila Vinoj yang berlari di lorong kelima dilihat terlebih dulu keluar daripada blok pelepasan.

scroll to top