Friday , 20 July 2018

Home » Bisnes » Kia jalin kerjasama dengan Facebook

Kia jalin kerjasama dengan Facebook

May 4, 2018 4:20 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Kia jalin kerjasama dengan Facebook

SEOUL,. Kia Motors Corp, pengeluar kereta kedua terbesar Korea Selatan berdasarkan jualan, menjadi rakan kongsi Facebook bagi membantu gergasi media sosial dari Amerika Syarikat (AS) itu melakukan ujian terhadap konsep perisian “augmented reality” atau realiti berperantara (AR), lapor agensi berita Yonhap.

Pada awal minggu ini, Facebook mengumumkan bahawa ia akan menguji satu ciri baharu di Facebook Messenger yang membolehkan pengguna menghantar mesej kepada syarikat penjual untuk melihat produk yang mereka beli terlebih dulu menggunakan AR.

Kia adalah antara empat syarikat yang menjadi rakan kongsi dan bakal menggunakan AR bagi platform Facebook Messenger.

Rakan kongsi lain ialah ASUS, Nike dan Sephora.

Di Facebook Messenger, sebagai contoh, pengguna boleh menghantar mesej untuk melihat dengan lebih jelas kenderaan baharu keluaran Kia Motors, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menerusi AR, pembeli boleh meletakkan sudut pandangan tiga dimensi yang menunjukkan kenderaan baharu itu dengan warna pilihan mereka di garaj, jalan masuk atau persekitaran lain.

Mereka juga boleh berkongsi semua imej AR itu dalam perbualan kumpulan atau antara satu dengan satu di Messenger, katanya.

“Kami teruja bahawa Kia kini mempamerkan kenderaan model Stinger 2018 menggunakan kesan AR baharu kami menerusi Messenger,” kata Pengurus Produk Messenger, Heath Black dalam satu kenyataan.

“Mengintegrasi kesan kamera AR ke dalam mesej mereka akan membolehkan pelanggan mendekati dan melihat dengan lebih jelas model Stinger serta membayangkan kenderaan itu dengan cara yang baharu serta lebih menarik.”

-BERNAMA

scroll to top