Tuesday , 23 July 2019

Home » Artikel Pilihan » ‘Kita sudi terima idea seluruh dunia’

‘Kita sudi terima idea seluruh dunia’

June 18, 2019 12:10 pm Category: Artikel Pilihan A+ / A-
‘Kita sudi terima idea seluruh dunia’

DR Mahathir ketika berucap di Cambridge Union, United Kingdom. - Foto BERNAMA

WALAUPUN Britain tidak menguasai kita, mereka datang melalui treatis dengan janji untuk melindungi kita. Kita dilindungi British, tapi tentunya mereka tidak boleh melindungi kita daripada orang Jepun.

Kita dibesarkan dengan berpusatkan Eropah. Justeru, kita berasakan semua perkara yang baik mesti datang dari Eropah. Mereka sajalah orang yang boleh melakukan perkara yang betul. Oleh itu, kita pinjam banyak sistem yang khusus dari Britain – ideologi, cara pemikiran, nilai moral dan banyak lagi.

Apabila kita merdeka, sudah tentu Malaysia sangat pro-Barat. Kita melihat ke Barat untuk panduan dan idea. Kemudian kita memutuskan untuk melihat ke Timur kerana di Timur, banyak negara yang membangun dengan baik, contohnya Jepun yang berkembang untuk menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Begitu juga Korea, China dan negara Timur lain yang berkembang dengan baik. Disebabkan itu, kita memutuskan untuk memandang ke Timur, untuk belajar daripada Timur kerana kita melihat Timur bukan sahaja dapat mengejar Barat, tetapi juga pencapaian mereka lebih maju dari Barat.

Selepas melihat ke Timur, kita banyak belajar daripada mereka dan Malaysia menjadi satu negara yang mencapai kemajuan yang besar sehingga menjadi negara industri dan pernah dikenali sebagai Harimau Asia. Kita belajar daripada Jepun banyak perkara, bukan hanya teknologi tetapi juga etika kerja dan kita percaya, etika kerja mereka menyumbang kepada kejayaan negara mereka. Kita cuba mengguna pakai sebahagian daripada etika kerja mereka sehingga Malaysia mampu bersaing dengan negara yang baru merdeka. Kita capai banyak kemajuan yang tidak dijangka kerana kita adalah negara pertanian, tetapi kita dapat menjadi negara perindustrian yang baik selepas melihat ke Jepun, Korea dan sekarang, sudah tentu kita melihat kepada China.

Sekarang kita terus melihat Barat kerana Barat ada banyak (perkara) untuk diajar kepada kita. Contohnya, Barat mengajar kita bahawa kita tidak begitu demokratik, itu salah satu perkara yang kita belajar daripada Barat. Kita (dikatakan) tidak demokratik walaupun kita ada pilihan raya dan pembangkang boleh menang banyak kerusi tapi kita tidak cukup demokratik kerana tidak bertukar kerajaan setiap kali ada pilihan raya. Parti yang sama menang setiap kali pilihan raya dan terus menjadi kerajaan di negara ini dan ini berlaku sehingga 60 tahun, sehingga pada 2018, apabila parti kerajaan kalah kepada gabungan parti pembangkang.

Belajar daripada kritikan

Sudah tentu kita tidak begitu demokratik. Kita kononnya diperintah oleh diktator yang mempunyai banyak kroni. Semua orang yang berjaya dan maju dalam perniagaan, mereka adalah kroni kepada kerajaan pada masa itu. Sekali lagi, kita banyak belajar daripada kritikan ini. Kita mempunyai diktator, pemimpin kepada kerajaan, kita agak ‘korup’ dan membuat peraturan tanpa berunding dengan orang lain. Jadi, kita banyak belajar dari Barat, daripada kritikan mereka. Bagaimanapun, dari Timur, tidak ada kritikan. Mereka kelihatan tiada apa-apa untuk dikatakan terhadap kita.

Bagaimanapun, Barat sering mengatakan kita melakukan sesuatu dengan salah, tidak mencapai apa yang diharapkan, tidak cukup demokratik dan pelbagai kritikan lain yang dilabelkan kepada kita. Sudah tentu kita menerima kritikan ini kerana kita berasakan Barat tidak bermaksud dengan apa yang mereka katakan. Anda tahu bahasa Inggeris, ia bercakap satu tetapi ia bermakna perkara lain. Sebagai contoh, Pengerusi di Parlimen dipanggil Mr Speaker tetapi beliau tidak dibenarkan bercakap.

Malaysia adalah anggota negara Komanwel tetapi wealth (kekayaan) terhad kepada beberapa negara saja, tidak common (bersama). Semasa kita di bawah pemerintahan British, mereka memanggil Sultan, The Rulers (pemerintah) tetapi sudah tentu mereka tidak dibenarkan memerintah dan Rulers mempunyai penasihat yang sebenarnya yang memerintah. Jadi, apabila mereka katakan kita diktator dan perkara seumpamanya, saya tidak rasa mereka maksudkannya.

Tak kisah dikritik

Jadi, kita tidak kisah dikritik. Kita juga berasa selesa dengan negara Timur yang tidak pernah mengkritik kita.

Kemudian, kita mempunyai ‘Order Baharu Dunia’ yang sentiasa berubah, kebanyakan oleh Barat.

Barat mencetuskan banyak idea baharu dan kita diberitahu untuk menerima idea itu. Sebagai contoh, mereka memutuskan supaya adanya World Without Borders (dunia tanpa sempadan) dan sudah tentu, kita tidak menolak idea itu. Malangnya, apabila mereka berkata World Without Borders, mereka hanya maksudkan mengenai aliran modal yang boleh keluar dan masuk tanpa sempadan. Sudah tentu apabila anda tidak ada sempadan, manusia juga mahu menyeberang untuk ke negara lain.

Kini, mereka mengadakan sempadan (sebenar) dengan membina tembok dan kawat duri bagi menghalang manusia. Jadi, sempadan wujud untuk manusia tetapi untuk modal, ia baik. Modal masuk dan keluar dari negara kita dan pada satu masa, kita menghadapi krisis mata wang kerana wang masuk dalam kuantiti yang besar untuk membeli saham dalam pasaran kita, (ia) meningkatkan nilai saham dan apabila nilai saham itu cukup tinggi, mereka lepaskan saham itu. Mereka mengambil untung dan meninggalkan negara, dan sudah tentu meninggalkan orang tempatan yang melabur dengan pelabur asing, yang berharap nilai saham itu naik, tiba-tiba sedar saham itu secara praktikalnya tidak bernilai.

Perkara ini sering berlaku. (Namun) Malaysia mampu mengendalikan masalah ini, khususnya krisis mata wang pada 1998 dan 1999. Apabila yang lain memandang ke Barat, kita memandang ke Timur. Dalam kes krisis mata wang, kita melakukan sesuatu yang ‘salah’. Kita perbetulkan kadar tukaran wang. Tiada sesiapa yang boleh memperdagangkan mata wang kita dan sudah tentu, kita diberitahu negara akan runtuh, tapi kita melakukan dengan baik dan keluar daripada krisis.

Sekarang, golongan bijak pandai di Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengatakan Malaysia berjaya melakukannya tapi ia sudah terlambat untuk negara lain melakukan perkara sama.

Dunia kelam-kabut

Kita melihat dunia dalam keadaan kelam-kabut. Anda melihat apa yang berlaku, (tapi) tidak sepatutnya berlaku. Di Amerika Latin, kita melihat ramai yang berpindah ke utara untuk pergi ke Amerika. Malangnya, Trump (Donald Trump – Presiden Amerika Syarikat) mungkin tidak suka warna wajah mereka dan membina tembok. Namun, pergerakan (perpindahan) masih berterusan.

Di Eropah, anda dapat lihat jutaan orang Arab dan Afrika berpindah ke sini dan sekurang-kurangnya satu negara meletakkan kawat duri. Kesatuan Eropah (EU) juga tidak sepatutnya menjadi begitu. Mereka ada (isu) Brexit, namun tidak gembira mengenai kesatuan dengan wujud pendapat yang berbeza dan sebagainya. EU yang sepatutnya menjadi model kepada dunia, kini tidak lagi menjadi model.

Di Timur Tengah, berlaku peperangan kerana negara Barat percaya perlu ada pertukaran rejim, demokrasi dan hasilnya adalah anarki, pergaduhan, peperangan puak dan sivil serta peperangan terbuka antara negara. Selain itu, kita melihat konfrontasi antara Amerika Syarikat (AS) dan China, AS dan Iran, dan konfrontasi ini berlaku sehingga kapal perang dihantar ke Laut China Selatan dan Teluk.

Bagaimanapun, Timur sangat diam. Kita tidak mencadangkan kepada dunia untuk menerima, kita sudi untuk menerima idea yang datang dari seluruh dunia, secara asasnya dari Barat. Kita dapati selepas berperang tiga abad lamanya, idea perang untuk menyelesaikan konflik masih ada dan ancaman diberikan kepada negara kecil. Jika anda tidak terima sekatan dikenakan kepada negara itu dan jika anda cuba berdagang dengan negara itu, anda juga akan dikenakan sekatan. Jadi, dunia sebenarnya tidak bebas. Kita ditadbir oleh negara yang berkuasa di dunia.

Saya percaya perang adalah jenayah. Jika anda membunuh orang, anda akan didakwa membunuh. Bagaimanapun, jika anda membunuh tujuh juta orang, anda dihiasi dengan pingat dan mereka bina tugu untuk anda. Ini bertentangan dengan nilai moral kita. Jika anda membunuh seorang manusia, anda akan dituduh dan kemungkinan digantung jika di Malaysia. Kita masih mempunyai hukuman mati tapi jika anda bunuh tujuh juta orang, ia OK. Anda disanjung dan nama anda ada dalam buku sejarah.

Ada yang tidak kena dalam cara pemikiran kita. Konflik antara negara tidak sepatutnya diselesaikan dengan cara membunuh orang. Saya rasa, kita cukup bertamadun untuk mengelak daripada membunuh orang. Saya percaya melainkan kita menolak perang dan menggantikannya dengan rundingan, arbitrasi dan membawanya ke mahkamah, tamadun kita tidak akan merosot. Saya percaya, walaupun dalam 4,000 tahun hidup sebagai manusia yang bertamadun, kita masih sangat primitif. Kita masih membunuh untuk menyelesaikan masalah. Saya berharap pada suatu hari nanti, dunia akan menerima hakikat bahawa perang adalah jenayah.

scroll to top