Sunday , 26 May 2019

Home » Bisnes » KKMM bekerja erat dengan TNB bagi menyedia kesalinghubungan berkualiti – Gobind

KKMM bekerja erat dengan TNB bagi menyedia kesalinghubungan berkualiti – Gobind

May 4, 2019 6:31 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
KKMM bekerja erat dengan TNB bagi menyedia kesalinghubungan berkualiti – Gobind

KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berharap dapat berbincang dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membolehkan ia turut dalam mencapai matlamat Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan liputan jalur lebar ke seluruh negara dengan secepat mungkin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya bekerjasama dengan TNB dalam projek perintisnya di Jasin, Melaka awal tahun ini dan gembira dengan hasilnya yang dilihat amat berjaya.

“Saya menyambut baik kenyataan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bahawa TNB sedang mempertimbangkan untuk terlibat dalam perniagaan telekomunikasi jalur lebar berkuasa tinggi.

“Saya juga ambil perhatian bahawa ia akan dilakukan dengan berhati-hati memandangkan syarikat berkenaan adalah sebuah organisasi tersenarai awam dan sebagai penyedia kemudahan elektrik negara, ia hendaklah memastikan keselamatan dan kebergantungan terhadap infrastruktur gridnya sentiasa utuh,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.

Pada 29 April, media melaporkan, TNB bersedia menjalinkan urus niaga bersama yang menyediakan infrastruktur gentian optik dengan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), susulan kejayaan projek perintis NFCP di Jasin.

Menteri itu menyatakan bahawa kementeriannya akan berusaha untuk bekerjasama erat dengan TNB bagi mempertingkatkan usaha menyediakan kesalinghubungan berkualiti kepada semua orang di negara ini pada harga yang munasabah, dengan secepat mungkin.

Beliau percaya penyertaan TNB akan bertindak sebagai alat pengubah kepada NFCP memandangkan projek perintis di Jasin menunjukkan infrastruktur sedia ada syarikat utiliti elektrik negara itu boleh menawarkan rangkaian akses terbuka kepada rakyat Malaysia dan perkhidmatan jalur lebar menerusi pemain telekom.

“Ia juga menunjukkan bahawa usaha kerajaan untuk menghubungkan negara ini boleh dilakukan dengan cepat dan melibatkan kos yang efektif. Ia juga boleh menyediakan infrastruktur gentian yang begitu diperlukan memandangkan Malaysia sedang bersiap sedia untuk pelaksanaan 5G,” tambah beliau.

Gobind turut menekankan adalah perlu untuk membolehkan Malaysia mempercepatkan usaha bagi merapatkan jurang digital dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

“Akhirnya, kita akan dapat bersaing dengan dunia dalam menghadapi cabaran, peluang dan faedah daripada ledakan Revolusi Industri ke-4 pada masa akan datang,” katanya.

Projek perintis NFCP oleh TNB telah membolehkan 1,100 rumah di Taman Merbau Perdana (termasuk kuarters polis), Taman Maju dan Felda Kemendor di Jasin, Melaka untuk melanggan kepada mana-mana pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh lapan penyedia perkhidmatan runcit.

— BERNAMA

scroll to top