Thursday , 18 July 2019

Home » Nasional » KKMM sedia bantu Kedah bangunkan bandar pintar – Eddin Syazlee

KKMM sedia bantu Kedah bangunkan bandar pintar – Eddin Syazlee

February 2, 2019 8:05 am Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
KKMM sedia bantu Kedah bangunkan bandar pintar – Eddin Syazlee

Eddin Syazlee Shith

ALOR SETAR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersedia membantu kerajaan Kedah untuk membangunkan bandar pintar di negeri itu, kata Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata kementerian akan menggerakkan semua agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengembeling tenaga bagi membantu Kedah mencapai sasaran itu.

“Impak daripada bandar pintar ini bukan sahaja akan bantu dapat beri peluang pekerjaan malah dapat ransang pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dalam era ekonomi digital sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KKMM Kedah di Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah di sini.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata kerajaan negeri akan meneruskan semula idea pembangunan bandar pintar di seluruh negeri ini yang membabitkan kepelbagaian penggunaan teknologi dalam aspek keselamatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan untuk melestarikan pembangunan negeri selari dengan kehendak revolusi industri 4.0 dan Pulau Langkawi dipilih sebagai tapak perintis untuk pembangunan bandar pintar yang diharapkan dapat dimulakan pertengahan bulan ini.

Konsep bandar pintar itu antaranya melibatkan pemasangan kamera litar tertutup, sistem pengecaman wajah, WiFi percuma, sistem pembayaran tanpa tunai dan penggunaan aplikasi telefon pintar untuk perkhidmatan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee berkata kerajaan belum memutuskan sama ada akan menambah atau mengurangkan bilangan Pusat Internet sedia ada kerana tumpuan kementerian ketika ini adalah untuk membangunkan infrastruktur komunikasi.

“Saya secara peribadi lihat banyak lagi kawasan luar bandar yang memerlukan perkhidmatan internet ini, jadi kita akan pertimbangkan untuk tentukan mana yang perlu ditutup atau diteruskan,” katanya.

Sehingga Disember lalu, sebanyak 867 Pusat Internet telah beroperasi sejak 2007 dengan anggaran kos penyelenggaraan dan operasi tahunan kira-kira RM300,000 bagi setiap lokasi.

— BERNAMA

scroll to top