Thursday , 27 June 2019

Home » Sukan » Klopp boleh tebus kesilapan Piala FA

Klopp boleh tebus kesilapan Piala FA

January 11, 2019 12:38 pm Category: Sukan A+ / A-
Klopp boleh tebus kesilapan Piala FA

Klopp

BRIGHTON,. United Kingdom: Kritikan terhadap keputusan Jurgen Klopp untuk melakukan sembilan pertukaran sehingga menyebabkan Liverpool tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Wolves, akan terhapus sekiranya kelab itu berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun, bermula di Brighton esok.

Klopp merehatkan Alisson Becker, Andrew Robertson, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Georginio Wijnaldum dan Sadio Mane ketika kekalahan di Molineux Isnin lalu, manakala Mohamed Salah dan Roberto Firmino hanya dimasukkan ketika permainan berbaki 20 minit.

Liverpool kini sudah tersingkir daripada kedua-dua kejuaraan domestik, tetapi ia tidak akan menjadi masalah besar sekiranya anak buah Klopp berjaya mengekalkan jurang empat mata ke atas Manchester City di puncak Liga Perdana.

Selepas bertandang ke Amex esok, Liverpool berdepan tiga perlawanan di laman sendiri menentang Leicester, Crystal Palace dan Bournemouth serta kunjungan ke West Ham sebelum aksi Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich.

Kelima-lima perlawanan liga itu membuka ruang buat Liverpool untuk mengutip mata penuh sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak selepas rekod tanpa kalah mereka musim ini dimusnahkan anak buah Pep Guardiola.

“Dua kekalahan berturut-turut, ia tidak bagus untuk kami tetapi ada masanya ia berlaku dalam semusim. Yang penting bagaimana anda bangkit selepas itu,” kata pemain tengah Liverpool James Milner.

“Sukar untuk mengharungi musim tanpa kesilapan. Saya rasa pada permulaan musim ini kami tidak bermain dengan baik tetapi masih mendapat keputusan yang bagus.

“Saya rasa anda sudah melihat karakter dalam skuad sejak beberapa tahun lalu, dan pemain-pemain yang kami ada, untuk tahu bagaimana kami akan bangkit.” – AFP

scroll to top