Friday , 19 April 2019

Home » Nasional » Kompaun RM4,000 jika gagal daftar skim Perkeso – Mahfuz

Kompaun RM4,000 jika gagal daftar skim Perkeso – Mahfuz

February 12, 2019 8:23 am Category: Nasional A+ / A-
Kompaun RM4,000 jika gagal daftar skim Perkeso – Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar

ALOR SETAR: Pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing akan dikenakan kompaun sehingga RM4,000, sekiranya gagal mendaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selewat-lewatnya Jun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata sejak skim itu dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017 sehingga 29 Jan lepas, Perkeso hanya menerima 10,677 pendaftaran daripada golongan tersebut dan jumlah itu sangat kecil berbanding keseluruhan pemandu ketiga-tiga kategori itu yang dianggarkan 300,000 orang.

Namun, beliau berkata pihaknya tidak akan terburu-buru melaksanakan tindakan itu dan menasihati pemandu untuk mendaftar dan mencarum dengan skim itu secara sukarela demi mendapat perlindungan sosial yang ditawarkan Perkeso.

“Jangan salah faham, kompaun ini sebab kita mahu beri perlindungan kepada mereka dan bukan sebab kita mahukan duit mereka kerana jumlah caruman yang dibayar nilainya kecil sahaja. Ini untuk kebaikan mereka sendiri.

“Perkeso juga memberi kelonggaran kepada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk membayar caruman mereka secara tahunan sebanyak RM157.20 atau bulanan sebanyak RM13.10 yang boleh memberi manfaat kepada mereka dan juga keluarga,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Perkeso di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Mahfuz berkata skim tersebut yang sebelum ini hanya dikhususkan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing telah diperluas kepada pemandu bas yang bekerja sendiri mulai 1 Feb lepas bagi memberi perlindungan kepada mereka.

Katanya, kira-kira 40,000 pemandu bas yang dilihat berdepan risiko kemalangan akan menerima manfaat perlindungan keselamatan sosial sekiranya mendaftar dan mencarum di bawah skim itu.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing serta bas bagi memberi pendedahan mengenai pentingnya mencarum dengan Perkeso.

“Perkeso juga sedang giat untuk memperluaskan lagi liputan skim ini kepada sektor pekerjaan lain yang dijangka akan dapat melindungi semua pekerja yang bekerja sendiri dan perkara itu akan dipertimbangkan selepas melihat keberkesanan skim ini untuk kumpulan pekerjaan sekarang,” katanya.

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri antaranya memberi perlindungan kepada pencarum daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan selain menyediakan faedah tunai di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

— BERNAMA

scroll to top