Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » Komponen BN Negeri Sembilan harus tolak ansur – Zahid

Komponen BN Negeri Sembilan harus tolak ansur – Zahid

March 14, 2018 7:05 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Komponen BN Negeri Sembilan harus tolak ansur – Zahid

REMBAU,. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bertolak ansur dalam menentukan calon yang akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kelak.

Beliau berkata ini bagi memastikan BN terus melakar kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekali gus memperbaharui mandat menerajui negeri.

“Perdana Menteri telah menyusun sesuatu yang lebih baik. Oleh itu parti-parti politik dalam BN sesama kita harus ada tolak ansur dalam penentuan calon-calon (dan) yang penting kerusi itu menang.

Kalau kita rasa calon itu tidak sesuai, tapi kita mahu kerusi itu kita menang, maka kerusi-kerusi itu kita cari calon yang boleh menang agar kita tambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tambah kerusi Parlimen…itu formula terbaik di Negeri Sembilan ini,” katanya dalam ucapan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Satria, Paroi, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Belia dan Sukan yang juga anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, barisan Exco Kerajaan Negeri serta pemimpin parti komponen BN Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, bagaimanapun, pucuk pimpinan masih boleh berkompromi dengan akar umbi dalam penentuan calon dan berharap anggota di peringkat bawahan juga boleh berkompromi dengan keputusan pucuk pimpinan.

“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Saya tak nampak permasalahan yang terlalu serius di dalam semua kawasan di Negeri Sembilan ini dan saya harap formula yang dibuat oleh Datuk Seri Najib dan saya membantunya sebagai Timbalan Pengerusi BN Pusat, saya mempunyai perasaan, saya mempunyai pegangan apabila kita bekerja keras dan tawakal kepada Allah S.W.T, Insya-Allah, akan memihak kepada kita kejayaan dan kemenangan dan kali ini memihak lebih besar kepada kita.

Saya tahu, kajian yang dilaksanakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) tahun lepas memperlihatkan 58 peratus pengundi mahukan calon yang mempunyai daya kepimpinan.

Kajian ini merupakan satu kajian tetapi saya amat yakin 58 peratus yang mahukan calon-calon boleh membawa perubahan, maka perdana menteri akan memperkirakan calon-calon yang boleh membawa perubahan, katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, justeru itu, tiga elemen utama ditetapkan dalam penentuan calon pada PRU14 iaitu yang boleh membawa perubahan dan pembangunan, yang boleh memberi kemenangan serta disukai pengundi.

Sementara itu, timbalan perdana menteri yakin BN Negeri Sembilan yang diterajui Mohamad akan mampu meraih dua pertiga majoriti pada PRU14.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga cukup yakin kerusi Parlimen Rembau yang disandang Khairy ketika ini serta empat DUN di bawahnya mampu dipertahankan dan ditingkatkan jumlah majoriti pada PRU14.

“Saya amat yakin di bawah kepimpinan beliau (Mohamad sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau), di bawah dukungan KJ (Khairy) yang juga naib ketua bahagian, di bawah dukungan wakil-wakil rakyat dibantu oleh Pemuda, Wanita dan Puteri dan pemimpin BN di Rembau ini, kita akan mempertingkatkan jumlah majoriti.

Ahmad Zahid juga optimis kerusi Parlimen Telok Kemang yang kini disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Seremban yang dikuasai DAP mampu ditawan kembali.

Parlimen Rembau dan empat DUN di bawahnya iaitu Kota, Rantau, Chembong dan Paroi dikuasai BN pada PRU13.

Parlimen Rembau yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Khairy, Radzali A. Ghani (PKR) dan Abdul Aziz Hassan (Bebas), Ketua Pemuda UMNO itu menang dengan majoriti 18,357 undi.

— BERNAMA

scroll to top