Friday , 20 July 2018

Home » Artikel Pilihan » Konflik media arus perdana, sumber berita saluran maya

Konflik media arus perdana, sumber berita saluran maya

July 4, 2018 7:33 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Konflik media arus perdana, sumber berita saluran maya

FENOMENA yang tercipta susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lahir daripada gelombang rakyat yang dahagakan kebebasan bermaklumat dan pemulihan sistem pentadbiran negara.

Majoriti anak muda sebulat suara menterjemahkan desakan dan kemahuan mereka diberi keutamaan menerusi peti undi.

Inilah yang dikatakan gelombang evolusi suara kebebasan rakyat yang dahagakan pengisian demokrasi bermaklumat dengan lebih telus dan adil.

Dalam menghadapi cabaran dan percaturan ketidaktentuan politik pascapilihan raya. Antara isu diberi perhatian oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah kebebasan media dan penyaluran maklumat telus dan adil kepada rakyat.

Antara pendekatan awal yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan ialah cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta kajian semula terhadap Akta Anti Berita Tidak Benar, selain Akta Komunikasi dan Multimedia.

Peraturan dan penguatkuasaan yang termaktub dalam beberapa akta berkaitan media, dilihat memberi kekangan kepada media untuk bebas berfungsi sebagai penyalur maklumat tepat kepada rakyat.

Bukan rahsia lagi apabila sesetengah media terpaksa menurut arahan kerajaan dan pihak berkepentingan supaya maklumat ditapis mengikut keperluan pihak terbabit.

Akta sedia ada disifatkan memberi tekanan kepada pihak media untuk bersikap objektif dalam pemberitaan maklumat. Sesetengah media harus bertindak memihak kepada agenda kerajaan pada waktu itu.

Gagal salur maklumat tepat

Dalam erti kata lain, media terbabit gagal menterjemahkan fungsi mereka untuk menyalurkan maklumat tepat dan adil kepada rakyat, menyebabkan reputasi mereka terjejas pada mata majoriti rakyat.

Ia berbeza dengan saluran media siber yang dikuasai rangkaian pemberitaan rakyat atau ‘citizen journalism’ yang terdiri daripada penulis blog berpengaruh.

Hal ini mengakibatkan beberapa syarikat gergasi media di negara ini mengalami krisis kewangan bagi meneruskan usaha untuk berfungsi sebagai penyalur utama maklumat kepada masyarakat.

Justeru, kerajaan menjanjikan komitmen untuk mengkaji penghapusan dan penambahbaikan akta di atas selain Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pada keseluruhannya, akta berkaitan media disifatkan sebagai halangan kepada sistem kebebasan bermaklumat yang berteraskan kepada pendemokrasian fungsi media itu sendiri.

Skop kekangan media dalam akta ini boleh dilihat daripada penguatkuasaan beberapa peruntukan perundangan yang menjerat media kepada peranan kerajaan sebagai ‘pengawal maklumat’ dan ‘pengawal lesen penerbitan media’ di negara ini.

Ia sekali lagi mencetuskan konflik kepada pengusaha media untuk menyalurkan maklumat dengan bebas kepada masyarakat.

Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Seksyen 211 Bahagian IX Pengawalseliaan Sosial, secara jelas memberi gambaran bahawa penyaluran maklumat jelek, palsu atau membawa kepada perkara subversif kepada masyarakat adalah dilarang.

Bagaimanapun, Seksyen 184, 189 dan 212 memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menubuhkan forum industri.

Ia seperti forum kandungan, forum teknikal dan forum pengguna yang dianggotai pengusaha media untuk menentukan mekanisme peraturan teknikal, perlindungan pengguna dan pemeliharaan kandungan maklumat yang dipersetujui secara bersama.

Hasil daripada forum terbabit berjaya menerbitkan kod teknikal, kod pengguna dan kod kandungan yang menjadi garis panduan struktur penyaluran maklumat media kepada masyarakat.

Kod kandungan misalnya, menggariskan peraturan penyiaran, penerbitan dalam talian, pengiklanan dan sebagainya mengikut acuan peradaban dan budaya rakyat negara ini tanpa campur tangan kerajaan secara langsung.

Masyarakat juga harus dididik bersikap mengamalkan ‘self regulation’ atau kawal selia sendiri dengan mereka akan memilih maklumat menepati latar budaya dan estetika masyarakat negara ini dan menolak maklumat bersifat subversif atau tidak bersesuaian.

Lambakan maklumat

Ini pendekatan yang sama dibuat negara maju untuk mendidik masyarakat masing-masing agar bersikap matang terhadap lambakan maklumat media yang diperoleh setiap masa.

Hal inilah yang menyebabkan Akta Komunikasi dan Multimedia unik dan sesuai dipraktikkan secara berkesan dalam dunia cabaran globalisasi hari ini.

Oleh sebab itu, cadangan pemansuhan dan penambahbaikan akta komunikasi yang diuar-uarkan oleh kerajaan baharu ini haruslah mengambil kira beberapa aspek seperti;

Perluasan skop media hari ini sebagai suatu medan penyalur maklumat yang dipercayai dan diyakini rakyat.

Perkembangan pesat teknologi siber memberi faktor penambahbaikan kepada fungsi media sedia ada.

Mekanisme pemberitaan maklumat kepada khalayak yang jelas dan bersifat objektif harus dibangunkan secara menyeluruh selagi tidak menjejaskan keharmonian rakyat dan negara.

Pendidikan penggunaan media berhemah dan efektif perlu dibangunkan dari peringkat prasekolah hingga peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

Sekiranya kerajaan masih mahu meneruskan usaha untuk menubuhkan Majlis Media Kebangsaan, ia harus berlandaskan suatu mekanisme operasi organisasi yang menyeluruh.

Kerajaan perlu mengambil kira penyertaan ilmuwan komunikasi dan pengamal media di negara ini, membentuk hala tuju Dasar Komunikasi Media Negara yang konsisten dengan perkembangan teknologi maklumat semasa dan meliputi semua skop media di negara ini.

Keberkesanan mekanisme pengurusan Majlis Media Kebangsaan itu nanti akan memberikan harapan baharu kepada industri media untuk menterjemahkan pelaksanaan dasar media yang dapat mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

scroll to top