Friday , 17 August 2018

Home » Bisnes » Kongres terbesar dunia di ibu negara

Kongres terbesar dunia di ibu negara

August 10, 2018 11:43 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Kongres terbesar dunia di ibu negara

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 10 persidangan diadakan serentak dalam Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2018 menjadikan ia diiktiraf sebagai kongres terbesar dunia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 dan 14 Ogos ini.

Kongres bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Mencipta Semula Masa Depan’ adalah anjuran Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Ia bakal mengumpulkan lebih 1,000 pakar dari seluruh dunia dalam pelbagai bidang penyelidikan dan inovasi.

Sepanjang dua hari ESTCON 2018 itu, akan berlangsung Persidangan Antarabangsa Geosains (ICG), Persidangan Antarabangsa Teknologi Kejuruteraan Minyak dan Gas (ICOGET), Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Awam, Luar Pesisir dan Alam Sekitar (ICCOEE) dan Persidangan Antarabangsa Pengeluaran, Tenaga dan Kebolehpercayaan (ICPER 2018).

Turut diadakan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Proses dan Bahan Lanjutan (ICPEAM), Persidangan Antarabangsa mengenai sistem Pintar dan Lanjutan (ICIAS), Persidangan Antarabangsa Sains Komputer dan Maklumat (ICCOINS). Persidangan Antarabangsa Sains Asas dan Gunaan (ICFAS), Persidangan Antarabangsa Kepimpinan dan Pengurusan (ICLM) dan Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan dan Sains Sosial (ICHSS).

Tiga penceramah akan menyampaikan ucap tama pada majlis perasmian iaitu Kursi London Futurist dan Ketua Delta Wisdom, Dr David Wood; Presiden Akademi Sains Malaysia dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Ketua Eksekutif Dan Kumpulan, Sirim Berhad, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil.

Sementara itu, Nobel Laureate serta Usahawan Sosial dan Pengasas Grameen Bank, Prof Muhammad Yunus pula akan menyampaikan ucaptamanya pada majlis penutup.

Platform bagi industri

Pengerusi ESTCON 2018 yang juga Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata kongres ini turut menyediakan platform bagi industri, akademik, kerajaan dan orang awam untuk mengambil bahagian dalam bidang perniagaan global yang membabitkan pelbagai topik seperti kepemimpinan, inovasi, keusahawanan dan kewangan.

“Peserta ESTCON 2018 boleh mengetahui lebih lanjut topik berkenaan dengan penerokaan teknikal, nanoteknologi, pengkomputeran hijau, alam sekitar dan kejuruteraan sumber air, infrastruktur infra, teknologi geo, kejuruteraan pengangkutan dan banyak lagi.

“ESTCON 2018 juga akan membincangkan lebih mendalam untuk menangani cabaran dihadapi dunia dalam merangkul Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohamed Ibrahim berkata, perwakilan dan peserta bekerjasama membentang serta membincangkan inovasi, aliran dan kebimbangan terkini selain cabaran yang dihadapi dan kaedah penyelesaiannya.

“Kami menyediakan program yang terbaik dengan beberapa penceramah akan berkongsi kepakaran mereka mengenai aliran dan isu terkini Industri 4.0 dari persepektif global,” katanya.

Mohamed Ibrahim berkata, ESTCON 2018 juga berperanan sebagai platform untuk membantu pencipta atau pereka mengkomersialkan ciptaan mereka melalui program Ìnnovation Pitching’.

“Kami percaya penyertaan pada kongres kali ini memberi banyak manfaat kepada peserta dari dalam mahupun luar negara, baik dari segi pembelajaran serta potensi rangkaian,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendaftar sebagai peserta kongres, bolehlah melayari laman sesawang di alamat estcon.utp.edu.my

scroll to top