Thursday , 15 November 2018

Home » Bisnes » Kos tinggi rencat penggunaan solar dalam kalangan rakyat

Kos tinggi rencat penggunaan solar dalam kalangan rakyat

August 21, 2018 9:50 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Kos tinggi rencat penggunaan solar dalam kalangan rakyat

ALOR GAJAH,. Kos yang tinggi menjadi faktor merencatkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan rakyat negeri ini terutama dalam golongan berpendapatan rendah, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan serta syarikat swasta bagi mengatasi masalah terbabit sekali gus mengembangkan penggunaan tenaga solar di negeri ini.

“Tenaga solar bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di rumah bahkan dapat mengatasi kemusnahan alam dan sumber asli selain berperanan sebagai alternatif dalam meningkatkan ekonomi negara.

“Oleh itu, kita akan menggiatkan lagi usaha bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ilmu berkaitan teknologi hijau terutama penggunaan solar dalam usaha memanfaatkan cahaya matahari dan ditukar kepada tenaga elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Sun Power Malaysia Manufacturing Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Turut hadir Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Tey Kok Kiew serta Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Wouter Juliaan F. Ooghe.

Adly dan rombongan pemimpin kerajaan negeri turut diberi taklimat mengenai operasi syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sebelum melawat ke beberapa bahagian kilang bagi melihat sendiri operasi syarikat pengeluar tenaga solar itu.

Mengulas mengenai syarikat itu, Adly berkata syarikat yang merupakan pembekal tenaga solar dan beroperasi di Melaka World Solar Valley di sini sejak lapan tahun lepas dijangka dapat menghasilkan produk untuk kegunaan tempatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Keyakinan itu berdasarkan kepada keupayaan syarikat tersebut yang kini menghasilkan 100 peratus produk tenaga solar untuk tujuan eksport selain menyumbang hasil kepada kerajaan negeri di samping menyediakan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat sejak beroperasi.

“Selain itu, Sunpower turut menggunakan khidmat lebih 50 peratus tenaga kerja tempatan malah menjalin kerjasama dengan lebih 70 peratus syarikat pembekal tempatan,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top