Thursday , 20 September 2018

Home » Bisnes » KPDNHEP ambil tiga langkah hadapi SST bantu rakyat

KPDNHEP ambil tiga langkah hadapi SST bantu rakyat

August 19, 2018 8:09 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
KPDNHEP ambil tiga langkah hadapi SST bantu rakyat

KULIM,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tiga langkah untuk menghadapi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka bermula September bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah pertama adalah simulasi menjangkakan kesan pelaksanaan SST terhadap barangan pengguna dilakukan dan beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Perangkaan membincangkan tentang simulasi itu.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Dr Uzair (Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzair Mahidin) dari Jabatan Statistik (Perangkaan) yang memberikan taklimat kepada saya tentang bagaimana simulasi kesan SST dilaksanakan. Itu akan membantu kementerian dalam menyusun langkah penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan simbolik penyerahan 60 lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kepada wakil penduduk dan agensi kerajaan dari Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Serdang dekat sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata langkah kedua pula melibatkan kesiapsiagaan daripada segi pemantauan dan penguatkuasaan di bawah kementeriannya dan semalam bahagian penguatkuasaan telah memberi taklimat kepadanya tentang persiapan Ops Catu yang akan dimulakan setelah SST dilaksanakan.

Beliau berkata langkah ketiga kementerian ialah melaksanakan program jualan murah bagi barangan keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar dengan meminta kerjasama pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Mydin supaya turut serta membantu melaksanakan program itu.

“Justeru, saya telah meminta Datuk KSU (Ketua Setiausaha Datuk Seri Jamil Salleh) kementerian mengadakan perbincangan dengan pasar raya besar,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top