Wednesday , 24 July 2019

Home » Ekonomi » KPDNHEP cadang lanjutkan skim kawalan harga Aidilfitri

KPDNHEP cadang lanjutkan skim kawalan harga Aidilfitri

March 24, 2019 7:16 am Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
KPDNHEP cadang lanjutkan skim kawalan harga Aidilfitri

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KULIM,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang menambah tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga sempena perayaan Aidilfitri tahun ini berbanding 14 hingga 15 hari sebelum ini.

Tanpa menyatakan tambahan tempoh itu secara khusus, Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah penambahan tempoh itu dilihat mampu mendisiplinkan peniaga untuk mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan berkenaan.

“Saya akan dapatkan maklum balas daripada ketua penguatkuasa (KPDNHEP) sama ada tempoh 15 hari itu akan kami kekalkan, namun kurangkan (tempoh itu) tidak, tambah (tempoh) berkemungkinan besar sekali.

“Kawalan (harga) sebenarnya kami lakukan pada musim perayaan iaitu pada Hari Raya Puasa (antara) 14 dan 15 hari yang dibuat sebelum, semasa dan selepas hari raya kerana orang buat rumah terbuka dan banyak orang beli barangan, jadi kami teruskan skim tersebut selepas hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) Zon Utara bagi tahun ini di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah R. Summugam.

Saifuddin Nasution berkata cadangan itu juga akan diguna pakai untuk perayaan lain sekali gus dapat memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan skim kawalan harga berkenaan sepanjang musim perayaan.

“Kami (bercadang) guna pakai untuk perayaan lain juga, paling terdekat ialah Aidilfitri nanti. Contoh pada (sambutan) Tahun Baharu Cina baru-baru ini, pegawai penguat kuasa melakukan lawatan dan tinjauan ke atas 70,000 premis di seluruh negara.

“Hasil tinjauan tersebut mendapati ada pelanggaran tanda harga syiling dua kes dan sebanyak 241 kes kegagalan meletakkan tanda harga yang berwarna merah jambu,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top