Saturday , 18 November 2017

Home » Nasional » KSU, Kementerian Ketuai Delegasi Ke Australia Dan New Zealand

KSU, Kementerian Ketuai Delegasi Ke Australia Dan New Zealand

August 13, 2017 9:30 am Category: Nasional A+ / A-
KSU, Kementerian Ketuai Delegasi Ke Australia Dan New Zealand

Datuk Seri Ramlan Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Rundingan Dua Hala Kementerian Luar dengan New Zealand,Australia

KUALA LUMPUR, 13 Ogos Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Rundingan Dua Hala Kementerian Luar dengan New Zealand pada Isnin (14 Ogos) di Wellington, dan Rundingan Pegawai-Pegawai Kanan Malaysia dengan Australia di Canberra, pada Rabu (16 Ogos).

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, delegasi New Zealand akan diketuai Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Dr Brook Barrington, manakala Australia diketuai Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan Perdagangannya Frances Adamson.

Menurut kenyataan itu, ketua-ketua delegasi dijadual membincangkan perkembangan kerjasama dua hala sedia ada serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang isu-isu berkaitan ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Laut China Selatan, perkembangan di rantau Pasifik, pencegahan keganasan dan konflik di Timur Tengah,” menurut Kementerian Luar.

Kenyataan itu menjelaskan kedua-dua rundingan itu juga diadakan seiring sambutan ulang tahun ke-60 negara menjalin hubungan diplomatik dengan New Zealand dan Australia.

Menurut Kementerian Luar, rundingan dua hala antara kementerian itu dan New Zealand, kali ketujuh diadakan di peringkat Ketua Setiausaha sejak pertama kali diadakan pada 6 Sept 2005 dan kali terakhir pada 10 Jun 2015 di Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, rundingan pegawai-pegawai kanan Malaysia dan Australia pula adalah mesyuarat berselang seli secara tahunan dengan Dialog Strategik Pegawai-pegawai Kanan Malaysia -Australia (peringkat Timbalan Ketua Setiausaha) di bawah kerangka Perkongsian Strategik, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull pada 22 Nov 2015.

Hubungan dua hala antara Malaysia bersama-sama New Zealand dan Australia telah berkembang baik serta menikmati kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, keselamatan, pertahanan dan hubungan antara rakyat.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat sebanyak 42.1 peratus kepada RM3.25 bilion (NZD 1.01 bilion) berbanding RM2.28 bilion (NZD 0.76 bilion) bagi tempoh sama, tahun lepas.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia dari Januari hingga Mei tahun ini turut meningkat sebanyak 30.8 peratus kepada RM22.3 bilion (AUD 6.56 bilion) berbanding RM17.04 bilion (AUD 5.01 bilion) dalam tempoh sama pada 2016.

— BERNAMA

scroll to top