Tuesday , 23 July 2019

Home » Nasional » Ku Nan dahulukan wang miliknya untuk kegunaan parti UMNO- saksi

Ku Nan dahulukan wang miliknya untuk kegunaan parti UMNO- saksi

July 9, 2019 4:06 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Ku Nan dahulukan wang miliknya untuk kegunaan parti UMNO- saksi

KUALA LUMPUR,. Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sering mendahulukan wang miliknya hampir RM300,000 sebulan untuk kegunaan parti UMNO.

Datuk Mohd Rahimi Rejab, 47, yang berkhidmat selama 15 tahun sebagai setiausaha sulit kanan sebelum menamatkan perkhidmatan pada 2018 berkata Tengku Adnan yang mempunyai jawatan yang tinggi dalam UMNO mendahulukan wang pada jumlah yang besar antara RM100,000 sehingga RM300,000 sebulan.

“Maybe (mungkin) lebih daripada itu (wang pendahuluan disalurkan kepada parti itu),” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-10 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan itu berkata bekas majikannya juga ada mendahulukan wang bagi kegunaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan PRK Kuala Kangsar, Perak pada Jun 2016.

“Bila orang tahu Tengku Adnan ada di pejabatnya, ramai orang akan datang…seolah-olah macam pasar ikan,” kata Mohd Rahimi ketika disoal Tan mengenai janji temu membabitkan Tengku Adnan.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Firdaous Mohamed Idris semasa pemeriksaan semula mengenai sumber mana wang pendahuluan itu diperoleh, Mohd Rahimi, yang juga ahli peniagaan menjawab, “Tidak pasti”.

“Orang politik yang nak datang jumpa Tengku Adnan akan maklumkan apa tujuan nak jumpa. Bila Tengku Adnan setuju (jumpa), baru akan masukkan dalam senarai. Kadang-kadang dia (Tengku Adnan) maklumkan pada saya dia nak ‘cash advance’ (wang pendahuluan) untuk beri sumbangan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rahimi ketika membacakan penyataan saksinya berkata berhubung dengan penjualan tanah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kebiasaannya permohonan dibuat oleh syarikat kepada menteri.

Bagaimanapun, saksi itu berkata terdapat juga keadaan di mana permohonan tersebut dibuat terus kepada Datuk Bandar dan jabatan yang berkaitan di DBKL.

“Bagi mana-mana permohonan yang dibuat kepada menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan, pejabat menteri akan memanjangkan permohonan tersebut kepada jabatan yang berkaitan dalam DBKL.

“Berkenaan permohonan daripada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, saya tidak pasti sama ada permohonan tersebut diserah sendiri kepada menteri ataupun pejabat menteri DBKL kerana saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan permohonan syarikat tersebut pada peringkat awal,” jelasnya.

Mohd Rahimi memaklumkan beliau telah menerima memo dalaman daripada Timbalan Ketua Pengarah, Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan, Datuk Zulkifli Ibrahim berkenaan Cadangan Pembelian Tanah Untuk Tujuan Pembinaan Rumah Mampu Milik Di Bawah Harga RM200,000 dan Apartment Harga Bebas Di Atas Tanah Lot 53427 dan 52653 seluas 4.05 ekar di Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan bertarikh 6 Feb 2015.

“Setelah saya menerima memo ini, saya telah memajukan memo tersebut kepada menteri (Tengku Adnan) untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 69, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

— BERNAMA

scroll to top