Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » Kuasai ilmu sains dan teknologi – Wan Azizah

Kuasai ilmu sains dan teknologi – Wan Azizah

October 13, 2018 8:01 am Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
Kuasai ilmu sains dan teknologi – Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

PORT DICKSON,. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati para pelajar agar menguasai ilmu moden sains dan teknologi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ketrampilan pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu amatlah diharapkan kerajaan kerana ia dapat meningkatkan daya saing rakyat Malaysia di peringkat global.

“Selain itu, para pelajar haruslah sentiasa berpegang kepada nilai kemanusiaan dengan berpegang kepada nilai-nilai moral dan etika.

“Manfaatkan kemahiran dan ilmu yang dipelajari di sekolah untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian,” katanya semasa berucap pada Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Samad, Port Dickson. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali.

Pada majlis itu, seramai 126 pelajar Tingkatan 5 dan Pendidikan Khas menerima sijil graduasi mereka.

Dr Wan Azizah berkata ibu bapa dan guru juga memainkan peranan memastikan kesinambungan pelajaran di sekolah dan rumah.

“Jika berlaku pertautan belajar di rumah dan sekolah, para pelajar akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, berkata kecemerlangan pelajaran bukan kayu pengukur kejayaan.

“Sekiranya gagal, jangan jadikan ia penghalang untuk mencapai apa yang dicita-citakan. Tak dapat daripada satu sudut, dapatkan daripada sudut lain tetapi kena kerja bersungguh-sungguh.

“Kemungkinan apa yang dipilih dalam hidup ini mungkin tak berlaku kerana faktor lain. Jangan sesekali putus asa,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top