Friday , 21 September 2018

Home » Artikel Pilihan » kutip sampah dan budaya pembersih Harus Jadikan Teladan

kutip sampah dan budaya pembersih Harus Jadikan Teladan

June 24, 2018 8:02 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
kutip sampah dan budaya pembersih Harus Jadikan Teladan

NAMPAKNYA demam bola sepak Piala Dunia di Russia masih belum reda lagi apabila 32 pasukan yang berentap, bakal memasuki fasa kedua peringkat kalah mati minggu depan.

Biasanya setiap empat tahun peminat sukan tertua di dunia ini sanggup bersengkang mata di depan televisyen atau menerusi aplikasi YouTube bagi menonton siaran langsung sehingga terlajak awal pagi.

Tidak apalah asalnya tanggungjawab anda sebagai pekerja tidak terjejas gara-gara tidak cukup tidur apabila ada yang ‘membeli’ cuti sakit atau ambil cuti kecemasan.

Namun kali ini, di celah-celah saingan merebut piala tersohor yang dulunya dikenali Jules Rimet ini, terselit nilai kemanusiaan yang patut dijadikan contoh dan teladan kepada rakyat negara ini.

Peristiwa ini berlaku Selasa lalu sebaik pasukan negara Matahari Terbit itu mencipta kejutan menewaskan buat julung kali pasukan dari benua Amerika Selatan, Colombia.

Nampaknya mereka ‘menang di padang dan juga di luar padang’. Satu dunia menyaksikan video viral penyokong pasukan ‘Samurai Biru’ itu bergegas mengutip sampah sarap di setiap lorong tempat duduk mereka.

Membawa plastik hitam, penyokong Jepun berbaris sambil mengutip sampah dan hanya meninggalkan tempat duduk mereka sebaik ia bersih. Mengikut laporan, ini bukan kali pertama penyokong mereka berbuat demikian. ‘Budaya pembersih’ ini patutnya sudah lama diamalkan di negara kita.

Kelmarin pun, kerajaan mengumumkan peraturan baharu semua restoran di negara ini hanya mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Menterinya Sumber Manusia, M Kulasegaran, menegaskan langkah itu bukan saja dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan, terutama aspek kebersihan.

Ini mengingatkan kita pada awal Ramadan lalu tersebar klip video di media sosial memaparkan bagaimana pekerja sebuah restoran makanan daun pisang di Bangsar, Kuala Lumpur yang mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.

Berbalik kepada budaya Jepun dan juga Korea, jika anda pergi ke negara berkenaan mesti anda tidak pernah nampak satu butiran sampah berada di jalanan dan tepi semak samun. Penulis masih ingat lagi ketika berada di pulau peranginan Jeju, Korea Selatan pada 2010, apabila terpaksa mencari tong atau bakul sampah di serata sudut hotel namun tidak langsung menjumpainya.

Malah penulis berasa malu apabila pekerja hotel yang ditanya mengapa tiada satu pun bakul sampah pantas menghulurkan dua tangannya mengambil kertas yang dironyok penulis lantas memasukkan ke dalam poket seluarnya. ‘Rahsia’ tiada tong sampah ini tidak lain hanya untuk mendidik dan melatih rakyat negara itu ke satu tahap disiplin yang amat tinggi iaitu tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.

Sesuailah dengan dasar Pandang Ke Timur, yang sekali lagi diserapkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah diperkenalkannya 37 tahun lalu.

Sudah menjadi budaya hidup dan tabiat bekerja warga Jepun terutama selepas kalah Perang Dunia Kedua yang amat menepati masa, berdisiplin, menjaga kebersihan, membaca dan menghormati orang tua.

Nampaknya amalan ini masih utuh dipertahankan. Walaupun mereka sudah menjadi masyarakat dan negara maju terbilang, sifat menjaga kebersihan ini telah mereka dibawa ke serata dunia termasuk pada perlawanan bola sepak FIFA di Russia.

Ia mungkin nampak kecil, namun penyokong Jepun telah menunjukkan akhlak baik dan patut dicontohi. Justeru, kepada rakyat di Malaysia, anda bila lagi?

scroll to top