Friday , 19 October 2018

Home » Bisnes » KWSP jangka urus aset RM1 trilion dalam 2-5 tahun

KWSP jangka urus aset RM1 trilion dalam 2-5 tahun

August 9, 2018 5:07 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
KWSP jangka urus aset RM1 trilion dalam 2-5 tahun

KUALA LUMPUR,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka aset di bawah pengurusannya (AUM) mencecah RM1 trilion dalam tempoh dua hingga lima tahun, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) Tunku Alizakri Alias.

Setakat 31 Mac 2018, AUM KWSP berada pada RM814.38 bilion.

Tunku Alizakri, berkata keyakinan itu disandarkan kepada prestasi pasaran dan pertumbuhan sumbangan dalam tempoh itu, selain pengenalan skim-skim baharu kepada pencarum sedia ada.

Beliau berkata, dana persaraan itu juga menggalakkan mereka dalam tenaga kerja tidak rasmi untuk mula membuat caruman untuk hari tua.

“Dalam tempoh empat tahun lalu, lebih penekanan diberikan ke atas keselamatan sosial… Ia dibincangkan oleh orang awam. Ia sekarang satu keutamaan bagi kerajaan. Banyak sumber (dan) tumpuan ditumpukan ke arah itu.

“Bagi saya, ini adalah hala tuju yang betul. Anda perlu memastikan rakyat Malaysia dijaga,” katanya kepada pemberita pada acara sampingan Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa KWSP 2018 di sini hari ini.

– BERNAMA

scroll to top