Wednesday , 24 October 2018

Home » Bisnes » KWSP sedia guna hak undi semak gaji ketua korporat

KWSP sedia guna hak undi semak gaji ketua korporat

July 23, 2018 3:06 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
KWSP sedia guna hak undi semak gaji ketua korporat

KUALA LUMPUR,,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk menggunakan hak mengundinya bagi menyemak semula gaji pengarah bagi syarikat miliknya, demikian menurut sumber.

KWSP, yang menguruskan aset bernilai RM814.4 bilion, bersedia untuk mengemukakan cadangannya terhadap pelantikan dan gaji eksekutif menerusi undian mesyuarat pemegang saham sekiranya perbincangan bersama ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan gagal mencapai kata putus, menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya.

Cadangan itu adalah terhadap semua syarikat yang dilabur oleh KWSP, selepas kumpulan itu menyuarakan penolakan terhadap pembayaran yang diterima Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memegang janjinya untuk mengubah semua kepimpinan selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan yang memimpin negara ini selama enam dekad.

Susulan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) meletakkan jawatan, diikuti beberapa pegawai tinggi Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), Telekom Malaysia Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

“Ia adalah tadbir urus yang baik. Dengan menggunakan undi, KWSP membuat keputusan betul.

Ini akan memberi peringatan kepada ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan di syarikat yang disenarai awam bahawa mereka mempunyai kewajipan fidusiari untuk menguruskan syarikat dengan baik.” kata Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong Teck Meng.

Sebelum ini, KWSP gagal mengundi keluar Shahril daripada jawatannya pada mesyuarat agung tahunan, 18 Julai lalu. Shahril dibayar RM71.92 juta, termasuk bonus RM55 juta, bagi tahun fiskal berakhir 31 Januari 2018, semasa syarikat itu mengalami kerugian RM2.5 bilion.

Ini adalah kali pertama sebuah institusi kewangan mengambil pendirian aktif di Malaysia, demikian menurut laporan The Edge.

“KWSP komited untuk terus mempromosi amalan urus tadbir yang kukuh dalam korporat Malaysia, dan menjangkakan amalan sama dilaksanakan terhadap semua syarikat yang dilabur,” kata KWSP.

KWSP adalah pelabur terbesar di saham Malaysia dan memiliki lima peratus kepentingan dalam kebanyakan syarikat yang disenarai, termasuk Sapura dan Telekom serta Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malayan Banking Bhd (Maybank), Media Prima Bhd dan Gamuda Bhd.

Pelaburan ekuitinya merangkumi 41.6 peratus daripada jumlah aset keseluruhan, menurut kenyataan pada Jun lalu.

– Bloomberg

scroll to top