Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Landasan 3 di KLIA ditutup untuk penyelenggaraan

Landasan 3 di KLIA ditutup untuk penyelenggaraan

January 13, 2018 3:38 pm Category: Nasional A+ / A-
Landasan 3 di KLIA ditutup untuk penyelenggaraan

KUALA LUMPUR,. Landasan terbang 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ditutup sementara dari jam 10.30 pagi hingga 4 petang hari ini bagi memudahkan kerja-kerja penting penyelenggaraan sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatannya.

Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan rakan-rakan syarikat penerbangan bagi memastikan ia tidak memberi kesan ke atas operasi penerbangan.

“Kami jangkakan kesannya ke atas operasi penerbangan adalah minimum dan tiada kelewatan penerbangan yang besar berikutan penutupan itu,” katanya dalam kenyataan yang diletakkan dalam platform media sosial.

Menurut MAHB, KLIA mempunyai dua lagi landasan terbang untuk menyediakan operasi penerbangan yang mencukupi jika berlaku sebarang penutupan sementara satu daripada landasan terbang seperti yang berlaku hari ini.

Para penumpang dinasihatkan supaya menyemak jadual penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata para pengguna perkhidmatan harus menjangkakan penerbangan akan mengalami kelewatan akibat penutupan landasan terbang berkenaan.

“Mereka yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel mereka yang didaftarkan dan SMS berhubung status penerbangan terkini mereka dan pilihan yang disediakan untuk mereka.

Sehubungan itu, AirAsia menggalakkan para penumpang untuk mengemas kini butiran untuk dihubungi mereka di airasia.com bagi memastikan mereka dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan penerbangan mereka,” kata kenyataan itu sambil menambah pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaru, tepat pada masanya, dengan para pengguna perkhidmatan berhubung sebarang perubahan.

– BERNAMA

scroll to top