Sunday , 26 May 2019

Home » Bencana » Lapan maut selepas siklon Fani badai negeri Odisha, India

Lapan maut selepas siklon Fani badai negeri Odisha, India

May 5, 2019 7:05 am Category: Bencana, Dunia A+ / A-
Lapan maut selepas siklon Fani badai negeri Odisha, India

CHANDIGARH (India),. Siklon Fani meninggalkan jejas kemusnahan selepas ia mendarat pada Jumaat di negeri Odisha, India apabila kehadirannya menyebabkan bekalan kuasa terputus dan banjir berlaku di banyak kawasan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut, menurut para pegawai dan media tempatan.

“Tiga orang termasuk seorang remaja lelaki, telah dilaporkan terbunuh di daerah Puri manakala tiga lagi di Bhubaneswar dan kawasan berhampiran. Serpihan konkrit yang melayang telah terkena seorang wanita di Nayagarh, menyebabkan mangsa meninggal dunia.

“Seorang wanita warga emas pula meninggal dunia akibat sakit jantung di sebuah pusat perlindungan di daerah Kendrapara,” lapor agensi berita Press Trust of India.

Jurucakap utama kerajaan India, Sitanshu Kar, berkata sejumlah 160 orang dilaporkan cedera.

Beberapa video yang menunjukkan kerosakan teruk bangunan dan hartanah lain kebanyakannya di ibu kota Bhubaneswar telah dimuat naik dalam media sosial.

Pada pagi Sabtu, Siklon Fani – siklon tropika paling kuat pernah melanda India dalam tempoh 20 tahun — telah membadai negeri Bengal Barat dan pakar meteorologi berkata ia akan terus bergerak ke arah Bangladesh.

Ia berkemungkinan besar akan melemah kepada ribut siklonik dalam tempoh enam jam berikutnya, menurut satu kemas kini yang dikeluarkan pada awal Sabtu oleh Jabatan Meteorologi.

Menurut Philip Klotzbach dari Universiti Negeri Colorado, Fani adalah siklon terkuat pada awal tahun ini di Lautan Hindi Utara selepas Siklon Nargis pada 2008.

Terdahulu, pegawai bantuan memaklumkan Anadolu bahawa lebih sejuta penduduk telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat di negeri itu.

— BERNAMA

scroll to top