Thursday , 18 October 2018

Home » Nasional » Laporan BN digantung tidak benar – Annuar

Laporan BN digantung tidak benar – Annuar

August 10, 2018 3:57 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Laporan BN digantung tidak benar – Annuar

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR,. Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Barisan Nasional (BN) digantung sementara bagi memberi peluang kepada parti komponennya meneroka kemungkinan menjalin kerjasama politik lain.

Annuar berkata, laporan portal berita yang memetik kenyataannya itu disifatkan sebagai tidak beretika dan seharusnya wartawan berkenaan perlu mendapatkan kesahihan laporan itu daripadanya terlebih dahulu.

“Berita itu tidak benar kerana tidak pernah ada keputusan sedemikian. BN tidak pernah digantung. Ini masalah dengan berita-berita macam ini. Apa objektifnya, kenapa letak berita BN digantung, bila BN digantung?

“Janganlah ‘qoute’ nama saya, ini tidak beretika. Awak temubual saya dan lepas itu awak tulis (berita), ini tidak adil. Awak perlu lihat konteks keseluruhan tetapi awak hanya ambil di luar konteks,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Annuar berkata, temubual dengan portal berita terbabit membabitkan isu MCA mahu menggunakan logo parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan tidak menggunakan logo BN.

Katanya, konteks temubual itu tidak berkisarkan isu BN digantung.

“Jika ada perkara yang tidak jelas, perlu tanya terus kepada saya kerana ini bukan perkara kecil. Pertama, saya bukan Setiausaha BN dan kedua BN membabitkan parti lain, macam mana boleh keluarkan kenyataan BN digantung tanpa pengetahuan ahli BN yang lain.

“Sudah tentu orang akan katakan saya gila, Setiausaha Agung UMNO tidak sedar tanggungjawab ke? Ini tidak baik. Berita itu tidak benar konon BN digantung, jika BN digantung itu adalah cerita besar. Periksalah terlebih dahulu,” katanya.

Sebuah portal berita dalam temubual bersama Annuar melaporkan BN digantung sementara untuk meneroka kemungkinan menjalin kerjasama politik lain

Laporan itu menyatakan Annuar sebagai berkata UMNO sedang melalui suatu fasa baru dan parti komponen BN perlu pragmatik, melihat kemungkinan bekerjasama dengan parti politik lain.

scroll to top