Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » Lawatan Tun M perkukuh hubungan Pusat, Sarawak

Lawatan Tun M perkukuh hubungan Pusat, Sarawak

July 14, 2018 12:47 pm Category: Nasional A+ / A-
Lawatan Tun M perkukuh hubungan Pusat, Sarawak

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba untuk menghadiri majlis perkahwinan anggota keluarga sahabat beliau di Cove 55, Santubong. - Foto Nadim Bokhari

SANTUBONG,. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bandaraya Kuching hari ini bagi mengadakan lawatan pertamanya ke Sarawak selepas kembali memimpin Kerajaan Pusat.

Ini adalah kali kedua beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan itu selepas Pakatan Harapan (PH) pimpinannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, sekali gus mengambil alih kepemimpinan Kerajaan Pusat.

Ketibaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa anggota Kabinet Sarawak.

Beliau bersama isteri kemudian menghadiri majlis perkahwinan cucu rakan karib mereka, Tan Sri Leo Moggie Irok yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah pusat peranginan eksklusif, di sini.

Bagaimanapun, majlis itu diadakan secara tertutup, dengan tetamu jemputan hanya dalam kalangan kenalan rapat dan anggota keluarga terdekat tanpa kehadiran pihak media.

Hubungan Dr Mahathir dan Moggie bukan sekadar rakan akrab, malah pernah menganggotai Kabinet Persekutuan selama 15 tahun bawah kepemimpinan pemimpin veteran berkenaan.

Esok, Dr Mahathir dijadualkan bertemu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada jam 8 pagi sebelum berlepas pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas.

Sumber memberitahu NSTP, pertemuan itu bagi membincangkan agenda memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang ketika ini dikuasai entiti parti politik berbeza.

Ia juga bagi meneliti perkembangan proses perundingan hak dan keistimewaan negeri ini bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan usaha berkenaan dipelopori bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

Malah, pertemuan Dr Mahathir dan Abang Johari turut dilihat sebagai platform dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut di antara PETRONAS dan kerajaan Sarawak berhubung hak perlombongan minyak serta gas di negeri ini.

scroll to top