Tuesday , 23 July 2019

Home » Nasional » Lebih 660 atlet Terengganu giat berlatih fasa kedua menuju SUKMA 2020

Lebih 660 atlet Terengganu giat berlatih fasa kedua menuju SUKMA 2020

July 11, 2019 9:54 am Category: Nasional, Sukan A+ / A-
Lebih 660 atlet Terengganu giat berlatih fasa kedua menuju SUKMA 2020

Wan Sukairi Wan Abdullah (Gambar fail)

KUALA TERENGGANU,. Seramai 667 atlet kini giat berlatih bagi fasa kedua latihan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tahun depan bagi memastikan Terengganu sekali lagi muncul juara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jumlah sebenar atlet yang akan menyertai kejohanan dwitahunan tersebut akan ditentukan selepas fasa ketiga latihan tamat iaitu pada Januari 2020.

“Antara sandaran kita untuk kekal sebagai juara ialah peratusan jumlah atlet-atlet yang telah menghasilkan pingat emas pada Sukma 2018 lalu masih ramai lagi.

“Kita belum meletakkan sasaran berapa pingat emas, tetapi yang pastinya sasaran kita untuk mengekalkan kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu Sempena Setahun Menjelang Sukma 2020 di Kompleks Sukan Negeri, di sini malam tadi.

Wan Sukairi berkata Terengganu akan menghantar wakil bagi semua 30 acara dipertandingkan dalam temasya sukan itu dan antara yang berpotensi untuk menyumbang pingat emas ialah acara berbasikal, kanu dan perahu layar.

Sukma ke-20 dijadual berlangsung dari 11 hingga 19 Julai 2020 di Johor Darul Takzim.

Untuk rekod, Terengganu selaku juara keseluruhan memperoleh 56 pingat emas pada Sukma ke-19 dan sebelum itu turut muncul juara pada 2008 di Kuala Terengganu, 2010 di Melaka, 2011 di Pahang dan 2012 di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

scroll to top