Wednesday , 24 July 2019

Home » Bisnes » Lebih seminggu dibuka, gerai nasi kandar jadi tumpuan

Lebih seminggu dibuka, gerai nasi kandar jadi tumpuan

April 16, 2019 11:47 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Lebih seminggu dibuka, gerai nasi kandar jadi tumpuan

KULIM,. Nasi kandar, hidangan nasi yang disajikan dengan kepelbagaian kuah kari dan lauk merupakan antara makanan yang cukup popular di negara ini terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.

Bagi penggemar nasi kandar, mereka sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya terutama di restoran-restoran yang sudah terkenal dengan keenakan makanan itu.

Namun, sebuah gerai di sini yang turut menawarkan nasi kandar, memiliki aura tersendiri apabila berjaya membuatkan pelanggan beratur panjang walaupun hanya baru lebih seminggu dibuka.

Nasi kandar di gerai ‘Nasi Kandar Abang Mad’ yang terletak di tapak pasar malam Junjung, di sini yang beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam kebiasaannya akan habis dijual dalam tempoh lima jam sahaja.

Pengusaha gerai itu Abdul Hakim Rezuwan, 35, berkata beliau tidak menyangka resipi nasi kandar yang dimilikinya sejak 10 tahun ‘menjadi’ apabila menerima sambutan hangat daripada pelanggan.

“Resipi ini saya ambil daripada kawan-kawan yang kerja tukang masak, selama 10 tahun saya ambil dan ‘peram’ sahaja resipi ini, tapi sekarang barulah ada keberanian nak cuba membuat dan menjualnya selepas ayah memuji masakan nasi kandar saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya, di sini.

Abdul Hakim berkata sebanyak 10 jenis lauk ditawarkan kepada pelanggan antaranya daging masak hitam, gulai sotong mamak, ayam goreng halia, telur rebus, telur goreng, bendi rebus, dan kurma ayam.

Katanya, setiap hari beliau akan menyediakan hidangan untuk kira-kira 350 orang makan dan biasanya ia habis dijual sebelum gerainya tutup pada pukul 10 malam.

Malah tinjauan Bernama juga mendapati, gerai Nasi Kandar Abang Mad itu mula dipenuhi pelanggan sejak pukul 4 petang walaupun pengusahanya belum tiba di situ.

Seorang pelanggan yang ditemui Bernama Azri Wan Ladi, 34, berkata dia memang tidak keberatan untuk beratur demi mendapatkan nasi kandar tersebut yang sememangnya lazat dan menyelerakan.

“Saya tak kisah kena beratur kerana saya memang peminat nasi kandar, di sini harga berpatutan selain boleh makan tanpa ragu-ragu kerana ia diyakini bersih,” katanya.

Bagi Rokiah Mad Zain, 57, pula dia turut beratur panjang dan menunggu giliran selepas keenakan nasi kandar itu tular di media sosial dan ingin mencubanya.

“Ini pertama kali saya nak cuba selepas tengok Facebook dan kawan-kawan beritahu sedap nasi kandar orang Melayu jual di sini, orang Cina dan India juga ada yang tunggu,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top